Wednesday, May 20, 2015
Najib Yakin Berjaya
20 Mei 2015, Kuala Lumpur : Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Kementerian
Kewangan boleh membuktikan bahawa langkah-langkah yang diambil untuk
memulihkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh mencapai
matlamatnya.
Perdana Menteri berkata, walaupun berdepan kritikan tentang isu itu,
beliau yakin Kementerian Kewangan boleh bersama-sama memastikan kejayaan
pelan pemulihan syarikat tersebut.
“Saya percaya langkah-langkah pemulihan boleh kita lakukan untuk
kurangkan hutang 1MDB, inilah perkara yang sedang diusahakan pihak
kerajaan,” katanya dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di
sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua
Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Kementerian Kewangan sebagai pemegang saham tunggal 1MDB pada Mac
lalu telah mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi memastikan
kejayaan pelaksanaan kajian strategik syarikat itu, selain menyediakan
segala bantuan yang diperlukan untuk memastikan nilai maksimum
dihasilkan.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, cerita-cerita negatif
tentang 1MDB akan terjawab dalam sedikit masa lagi apabila Jabatan Audit
Negara membentangkan laporan audit mereka kepada Jawatankuasa Kira-Kira
Wang Negara (PAC).
“Saya amat berharap supaya semua pihak tunggu laporan PAC,” katanya.
Sementara itu, ketika mengulas tentang pelaksanaan cukai barang dan
perkhidmatan (GST), Najib berkata, langkah atau dasar penambahbaikan
yang diperkenalkan kerajaan perlu dikekalkan untuk menampakkan kesan
baiknya.
“Kita mesti ada keyakinan dan keberanian. Walaupun dipukul ombak dan
badai, kapal bahtera kita mesti belayar terus ke destinasi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata, pelaburan swasta suku pertama
2015 pada harga semasa meningkat sebanyak 13.6 peratus kepada RM51.5
bilion sementara jumlah pelaburan langsung asing (FDI) mencatat
peningkatan aliran bersih sebanyak RM9.9 bilion.
“Prestasi ekonomi ini membuktikan keyakinan para pelabur yang semakin
teguh di dalam ekonomi negara serta mencerminkan keberkesanan kerajaan
dalam mengurus ekonomi dan kewangan negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menerbitkan sukuk global
bernilai AS$1.5 bilion (RM5.38 bilion) dan kejayaan itu menempa sejarah
kerana buat kali pertama, sukuk berdaulat bertempoh matang 30 tahun
diterbitkan.
Beliau berkata, transaksi sukuk global 2015 berjaya menarik minat
pelabur dengan langganan melebihi AS$9 bilion (RM32.27 bilion) iaitu
sukuk bertempoh matang 10 tahun melebihi langganan hampir tujuh kali
manakala sukuk bertempoh matang 30 tahun melebihi langganan hampir enam
kali.
“Kejayaan transaksi ini menunjukkan sentimen pelabur antarabangsa
terhadap kredit Malaysia adalah amat teguh dan positif,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment