Wednesday, May 20, 2015

Tiada Apa Yang Perlu Disembunyikan, Berani Kerana Benar

19 Mei 2015, Kuala Lumpur : Sikap keterbukaan Perdana Menteri (PM) memperjelaskan segala dakwaan yang cuba dimanipulasi oleh sesetengah pihak adalah kerana beliau berpegang kepada prinsip berani kerana benar, ujar penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd Sazili Shahibi.
KUALA LUMPUR, 11 Mei --  BERSEMANGAT... Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari UMNO ke-69 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini. -- fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA
Ini tegasnya menunjukkan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengamalkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Barisan Nasional (BN) mengamalkan ketelusan dan berpegang kepada kebenaran serta tiada apa-apa yang perlu disembunyikan apabila sesuatu isu itu timbul, jelas beliau.

“Bukan sahaja isu yang berkait rapat dengan 13 perkara tersebut dijawab, apa sahaja isu yang cuba dimanipulasi oleh sesetengah pihak, kerajaan akan menerangkan kepada rakyat supaya rakyat mendapat maklumat yang sahih sahaja.

“Banyak contoh sebelum ini, rakyat dihidangkan pelbagai isu yang cuba dimanipulasi oleh segelintir pihak, tetapi akhirnya terserlah kebenaran,” katanya kepada UMNO-Online.

Menurut beliau lagi, ini juga menunjukkan BN mengamalkan tadbir urus yang baik di dalam memberi perkhidmatan dengan melaksanakan tanggungjawab secara telus dan berakauntabiliti dari segi mengambil keputusan dan penyampaian hasil pelaksanaan sesuatu usaha yang dijalankan.
PM dalam catatan terbaharunya di Twitter dan blog NajibRazak.com telah memberi maklum balas dan jawapan terhadap tuduhan serta dakwaan terhadap beliau dan kerajaan.

Antara yang dijawab dengan baik oleh beliau ialah mengenai 1MDB, tuduhan membunuh Altantuya, BR1M, tuduhan indeks rasuah dan jenayah meningkat, jambatan bengkok dan beberapa lagi isu berbangkit.

Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UitM) itu mengharapkan agar penjelasan daripada PM diterima dengan baik oleh masyarakat supaya melihat bahawa kerajaan BN sesekali tidak akan menyembunyikan fakta-fakta bagi perkara yang berkaitan.

“Rakyat sebenarnya tidak perlu mengikut rentak segelintir pihak yang hanya pandai mengambil peluang dan ruang untuk membina persepsi negatif kepada kerajaan.

“Sebelum menghukum, kita perlu selidiki dan mendapatkan maklumat yang sahih dari sumber yang benar sahaja, bukan daripada sumber yang kedua atau ketiga yang tidak diketahui puncanya,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut memberi pandangan langkah terbaik dalam menyelesaikan sesuatu masalah adalah dengan memberi penerangan yang sebaik-baiknya dengan cara bermusyawarah.

“Dalam pada itu, kerajaan melalui kementerian-kementerian dan agensi-agensi di bawahnya perlulah proaktif dalam mempertahankan dasar-dasarnya yang diakui memang fokus kepada kepentingan dan kebajikan rakyat,” ujarnya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment