Sunday, May 24, 2015

Generasi Muda Digesa Suburkan Semangat Keusahawanan

24 Mei 2015, Kuala Lumpur : Generasi muda digesa mengembangkan minat dan memperkukuhkan budaya keusahawanan untuk membantu memacu Malaysia agar terus melangkah ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata golongan muda perlu tampil dan menceburi bidang keusahawanan yang merupakan sebahagian daripada pembangunan negara.

“Peranan anda sangat penting … saya mahu lihat lebih banyak yang tampil ke hadapan.

“Apa yang penting adalah untuk membangunkan minat dan memberi tumpuan dalam menyuburkan semangat keusahawanan,” katanya ketika beliau singgah di ruang pameran program Keusahawanan 1Malaysia (1MET) pada hari terbuka Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
KUALA LUMPUR, 24 Mei -- Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengadakan lawatan Hari Terbuka Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. --fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA
Program 1MET yang merupakan sebahagian daripada inisiatif NBOS adalah satu daripada siri latihan keusahawanan untuk membimbing dan membantu usahawan muda dalam asas keusahawanan supaya lebih berdaya saing dan bergerak ke tahap lebih tinggi.

Muhyiddin, yang diiringi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah, berada kira-kira sejam melawat gerai serta meninjau pelbagai aktiviti yang diadakan oleh kementerian dan agensi yang mengambil bahagian.

Acara dua hari yang julung kali diadakan itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri dan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat berkaitan NBOS dan memahami tentang pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak 2009.

Sebanyak 40 gerai dan aktiviti bagi orang dewasa dan kanak-kanak diadakan oleh pempamer yang mengambil bahagian, termasuk ceramah keusahawanan, penjelasan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan, cabaran Fit Malaysia dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment