Wednesday, May 27, 2015

Najib Persoal Motif Mahathir

28 Mei 2015, Kuala Lumpur : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, banyak daripada apa yang diperkatakan Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini tidak mempunyai objektif dan salah sama sekali.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj0KGzIwRcRYPh_HdG1f2n-tzpJxl9NYH0YPvMeR9izNVLfme1Zo0nxfy3KVwvYJH_ya0UpsYCGmegi1fHH0zD8qbd3R63HN3U4eWdP6s99URBWqWo8xzli6IM0lwm1kL0vDcg7W3HRTqjW/s1600/Najib-Tun-Mahathir.jpg
Beliau berkata, persoalan yang perlu dibangkitkan adalah apakah motif Dr. Mahathir yang memilih saat ini untuk meluahkan kecaman yang direka-reka kumpulan pembangkang yang dahulunya dikecam beliau sebagai pembohong.

Najib menegaskan bahawa Dr. Mahathir sering mendakwa bahawa beliau (Dr. Mahathir) melakukan sesuatu disebabkan apa yang dimaklumkan orang kepadanya apabila mereka datang menemuinya.

“Bagaimanapun, beliau perlu menyiasat sama ada perkhabaran dan dakwaan yang itu mempu­nyai sebarang bukti atau kebenaran sebelum menyuarakannya. Beliau tahu benar bahawa banyak daripada dakwaan itu dibuat tentang perkara semasa di bawah pentadbiran beliau.

“… dan seperti biasa jawapan Tun adalah: ‘Mana buktinya?“ Beliau seharusnya menerapkan ujian sama kepada apa yang didengari­nya,“ kata Najib dalam blog beliau, NajibRazak.com..

Respons terkini Najib terhadap dakwaan Dr. Mahathir yang menyentuh beberapa isu di samping kritikan terhadap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah dimuat naik ke bahagian ‘Soalan Lazim’ dalam blog beliau.

Najib berkata, meskipun banyak pencapaian dicatat dalam tempoh enam tahun pertama pentadbiran beliau, namun semua kemajuan yang dilakukan Malaysia dan Barisan Nasional (BN) tidak diendahkan, sebaliknya lebih memihak kepada dakwaan tidak berasas dan pembohongan yang dimulakan pembangkang.

Najib menegaskan bahawa Dr. Mahathir, yang memegang kuasa selama 22 tahun, sentiasa berkeras supaya anggota parti menyokong kepimpinan beliau, lebih-lebih lagi ketika berdepan masa yang mencabar.

“Kami melaksanakan tugas kami ketika itu, dan saya menyokong beliau di masa senang dan susah. Saya berbuat demikian kerana saya percaya ketika itu, seperti mana yang saya lakukan sekarang, bahawa perpaduan parti adalah prasyarat kepada apa yang ingin dicapai untuk negara,“ katanya.

Beliau berkata sebahagian besar anggota UMNO masih mengiktiraf bahawa kesetiaan sebenar bermakna bersama-sama berusaha untuk membina parti demi kebaikan rakyat.

“Salah bagi Tun dan mana-mana anggota UMNO untuk merendah-rendahkan kepemimpinan parti hari ini hanya disebabkan kehendak peribadi mereka tidak dipenuhi,“ kata Najib, dan menegaskan bahawa kepentingan rakyat dan parti jauh lebih pen­ting daripada mana-mana individu tertentu.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa beliau dipilih secara demokratik oleh parti dan rakyat, dan memandangkan beliau memperoleh mandat, beliau akan melengkapkan penggal sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.

Perdana Menteri turut mengambil peluang untuk memperjelaskan tentang beberapa isu yang disifatkannya sebagai `tidak adil atau mengelirukan’ berhubung kritikan yang dilontarkan Dr. Mahathir.

Mengambil contoh kes GST, Najib berkata: “Beliau (Dr. Mahathir) menentang pelaksanaan GST, walaupun semua pakar ekonomi yang berwibawa percaya bahawa asas cukai kita adalah perkara yang betul untuk dilaksanakan.

“Perolehan itu akan digunakan untuk kebajikan rakyat. Malah, cadangan ini mula diutarakan semasa pentadbiran beliau.“

“Kita mesti juga sentiasa menghormati orang lebih tua yang telah banyak berjasa kepada Malaysia. Namun begitu, saya tahu ramai yang percaya bahawa sudah tiba masanya mereka membenarkan generasi berikutnya untuk mentadbir negara, dan ini termasuk mengatasi sendiri segala masalah dan cabaran mendatang,“ kata­nya.

Sumber oleh : BERNAMA

Berikut dipetik dari laman NajibRazak.com

a.) Saya menerima kritikan dengan hati yang terbuka dan akan terus menangani kebimbangan yang munasabah dan memberikan maklum balas.

b.) Kita mesti juga sentiasa menghormati orang yang lebih tua dari kita yang telah banyak berjasa kepada Malaysia. Walau bagaimanapun, saya tahu ramai yang percaya bahawa sudah tiba masanya mereka membiarkan generasi akan datang mentadbir negara, dan ini termasuk mengatasi masalah dan cabaran kepada kita sendiri.

c.) Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Saya telah dipilih oleh UMNO, dan oleh rakyat negara ini, untuk memimpin mereka. Oleh itu, saya telah diamanahkan mandat oleh mereka dan saya bertanggungjawab kepada parti dan rakyat, bukan untuk mana-mana individu. Pada pilihan raya umum dan pemilihan parti akan datang, parti dan rakyat dapat menggunakan hak demokratik mereka melalui peti undi.

d.) Tambahan pula, kebnyakan kritikan Tun adalah tidak adil atau mengelirukan:

i.) Beliau menentang pelaksanaan GST, walaupun semua pakar ekonomi yang berwibawa percaya meluaskan asas cukai kita adalah perkara yang betul untuk dilakukan. Pendapatan akan digunakan untuk kebajikan rakyat. Malah, idea itu diilhamkan semasa pentadbiran beliau.

ii.) Tun telah menyebarkan khabar angin yang berniat jahat diperoleh dari pembangkang mengenai isteri saya dan keluarga. Sebagai contoh, dalam satu ucapan beliau baru-baru ini di Ipoh, beliau memetik satu kenyataan palsu yang pernah dijaja pembangkang melalui penggunaan artikel Utusan yang telah dipalsukan. Juga, beliau turut mengulangi tuduhan palsu yang dimulakan oleh pembangkang pada masa pilihan raya umum lepas berkaitan isteri saya memiliki cincin RM24 juta. Ini satu pembohongan, dan syarikat pemilik cincin tersebut telah menjelaskan secara terperinci dan bahawa cincin tersebut tidak pernah dibeli oleh Rosmah. Adalah amat dikesali apabila seorang negarawan seperti Tun menyampaikan fitnah kepada rakyat.

iii.) Beliau juga menyambung fitnah dari pembangkang berkaitan peningkatan pembelian dalam penggantian jet kerajaan, dengan mendakwa bahawa Yang Di-Pertuan Agong tidak menggunakan jet tersebut dan menuduh saya pendusta. Tetapi sekali lagi ini adalah palsu – Seri Paduka Baginda sebenarnya penumpang VIP yang pertama menggunakan pesawat yang baru tiba untuk lawatan ke Langkawi, dan akan terus berbuat demikian.

iv.) Tun telah menggunakan cabaran kewangan yang dihadapi 1MDB sebagai alasan untuk menyerang saya. Memang benar bahawa 1MDB menghadapi cabaran, tetapi tidak di tahap seperti yang didakwa. Malah, beberapa tuduhan yang telah dibuat tidak mempunyai asas dalam realiti, sebagai contoh Tun mendakwa bahawa saya bertanggungjawab untuk kerugian sebanyak RM42 bilion pada kunci kira-kira 1MDB. Fakta berkaitan ini telah dengan sengaja diputar belit sedangkan 1MDB tidak mengalami kerugian sejumlah itu. Itu adalah jumlah hutang 1MDB; hutang yang jauh lebih rendah daripada aset syarikat sebanyak RM51 bilion, 1MDB telah diaudit dan disahkan oleh Deloitte. Kebanyakan syarikat-syarikat besar di seluruh dunia mempunyai hutang, tiada apa-apa yang luar biasa tentang perkara ini. Beliau juga mendakwa bahawa saya tidak menjawab isu-isu 1MDB, tetapi lebih dari itu – saya telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit keatas 1MDB, keputusan audit tersebut akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) yang dianggotai oleh kedua-dua parti (BN dan pembangkang). Ini bagi memastikan proses siasatan 1MDB adalah telus, dan semua persoalan berkaitan syarikat itu bakal terjawab secara bebas oleh badan-badan yang sah selain daripada sumber yang bermotifkan politik.

v.) Tun sering mendakwa bahawa beliau melakukan sesuatu berdasarkan apa yang orang beritahu apabila mereka datang untuk berjumpa dengannya. Bagaimanapun, beliau perlu menyemak sama ada khabar angin dan tuntutan tersebut mempunyai bukti dan kebenaran sebelum menyuarakan dan menyiarkannya. Beliau lebih arif bahawa banyak dakwaan telah dibuat mengenai apa yang berlaku di bawah pentadbiran beliau sebelum ini. Dan selalunya jawapan Tun adalah: “Di mana bukti?” Beliau harus menggunakan pendekatan yang sama dengan apa yang didengar.

vi.) Walaupun banyak yang telah dicapai dalam tempoh enam tahun pertama pentadbiran saya, semua kemajuan negara dan BN yang telah dilaksanakan sedang dinafikan gara-gara tuduhan tidak berasas dan pembohongan yang dimulakan oleh pembangkang. Kebanyakan daripada apa yang Tun telah perkatakan tidak mempunyai objektif dan sememangnya perkara yang tidak benar. Soalan ini perlu ditanyakan – apakah motif Tun dalam memilih masa ini untuk memanjangkan fitnah yang dihasilkan oleh pembangkang yang dahulunya beliau dakwa sebagai pembohong?

vii.) Sepanjang 22 tahun berkuasa, Tun sentiasa bertegas untuk anggota parti menyokong kepimpinannya, terutamanya pada masa yang mencabar. Kami telah melakukan seperti diminta, dan saya menyokong kepimpinan beliau sepenuhnya ketika itu. Saya berbuat demikian kerana saya percaya, sepertimana yang saya lakukan sekarang, bahawa perpaduan parti adalah pra-syarat kepada setiap perkara yang ingin dicapai untuk negara. 

Sebahagian besar ahli-ahli UMNO masih mengakui bahawa kesetiaan sebenar bermakna bekerja bersama-sama untuk membina parti untuk kebaikan rakyat. Adalah salah untuk Tun dan mana-mana anggota parti untuk melemahkan kepimpinan parti hari ini hanya kerana kehendak peribadi mereka tidak dipenuhi. Kepentingan rakyat dan parti itu adalah jauh lebih penting daripada mana-mana individu.

viii.) Saya telah dipilih secara demokratik oleh kedua-dua parti dan rakyat, dan, sepertimana mandat yang telah diamanahkan, saya akan menyempurnakan tempoh perkhidmatan saya sebagai Presiden dan Perdana Menteri. Keutamaan saya adalah untuk memastikan kita mencapai Wawasan 2020 dan transformasi ekonomi, transformasi kerajaan dan politik, yang akan memanfaatkan kepada semua rakyat Malaysia.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment