Wednesday, May 27, 2015

Pemuda Anjur Hari Terbuka GST, Salur Aduan Dan Rungutan Kepada Kerajaan

27 Mei 2015, Kuala Lumpur : Pemuda UMNO akan menganjurkan hari terbuka Good & Services Tax (GST) dalam masa terdekat bagi memberi ruang kepada semua pihak termasuk para peniaga dan orang ramai untuk menyampaikan segala aduan dan permasalahan yang timbul mengenai pelaksanaan cukai tersebut.
GOODS-SERVICES-TAX-GST-ASL-training 
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata menerusi medan berkenaan, pihak yang berkaitan akan dijemput seperti Kastam, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna untuk mendengar aduan dan rungutan serta soalan daripada pengguna dan rakyat.

“Kita dapat kumpulkan semua aduan dan rungutan ini supaya lebih jelas bagaimana dapat meperbaiki pelaksanaan GST. Kita akan jemput bukan hanya ahli Pemuda tetapi persatuan pengguna, persatuan belia, peruncit, persatuan pengilang, persatuan pemborong dan sebagainya supaya mereka dapat sampaikan kepada pihak kerajaan berkenaan pelaksanaan GST.

“Sekarang ini kita nampak pelaksanaan GST dipertikaikan dan kita perlu ada satu medan, satu forum untuk suarakan pandangan mereka secara langsung kepada pihak berkuasa dan agensi yang dipertanggungjawabkan mengenai GST”, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi Pemuda UMNO bersetuju dengan dasar kerajaan  menyokong polisi ini diteruskan, namun pelaksanaannya perlu ada beberapa penambahbaikan.

“Kita akan anjurkan program ini sebelum Ramadhan dan tarikh akan diumumkan kemudian. Mungkin kita akan buat sehari dan akan dipecahkan kepada beberapa sesi berdasarkan kepada jemputan tertentu dan sebagianya,” ujar beliau.

Khairy seterusnya menambah Pemuda UMNO akan menjadi urusetia untuk mengumpulkan segala aduan ini dan disampaikan kepada kerajaan agar mereka dapat memikirkan bagaimana dapat melicinkan lagi pelaksanaan GST.

“Ini adalah satu sumbangan nilai tambah yang Pemuda dapat bawa untuk membantu kerajaan dalam soal ini,” katanya.

Pada sidang media yang sama, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) memaklumkan pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Kesatuan Kebangsaaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) esok.

Menurut beliau perjumpaan berkenaan adalah bagi mengetahui dan mendengar apakah pandangan mereka yang bakal ditamatkan perkhidmatan dengan syarikat MAS.

“Mereka telah tulis surat kepada saya… Pemuda UMNO sangat-sangat prihatin dengan nasib mereka ini. Esok kita akan dengar dulu semasa perjumpaan dan selepas itu Pemuda akan bantu sedaya upaya untuk kita pastikan mereka yang tidak dapat disambung perkhidmatan ada pembelaan.

“Pembelaan itu samaada menerusi peluang pekerjaan alternatif atau latihan kemahiran alternatif…sebab kita pegang kepada komitmen yang telah dibuat oleh PM, Datuk Seri Najib bahawa bagi mereka yang ditamatkan daripada MAS akan dilatih semula atau ditempatkan di syarikat GLC yang lain,” ujarnya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment