Wednesday, May 20, 2015
Kerajaan Perpaduan, Siapa Sebenarnya Pembohong?
20 Mei 2015, Kuala Lumpur : Pada Selasa lalu, Presiden Pas di dalam
program ‘Bicara Harakah’ telah mendedahkan bahawa idea kerajaan
perpaduan pernah dipersetujui oleh bekas Mursyidul Am, Allahyarham Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
dan beliau sendiri dalam satu pertemuan namun begitu, baru-baru ini
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menafikan perkara tersebut dan juga
meminta agar Pas tidak mengheret sama rakan sekutu dalam persoalan
dalamannya.
Sehubungan itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid
Shirlin melihat kenyataan kedua-dua parti sekutu dari pakatan
pembangkang itu tidak lebih hanya mencerminkan pendirian masing-masing
yang sering salah-menyalah apabila berada dalam keadaan tersepit.
“Persoalannya sekarang, semua hendak tahu siapa sebenarnya yang tidak berlaku jujur, yang bersikap pembohong?
“Satu pihak kata ada, satu pihak lagi kata tiada, di situ sudah
nampak antara mereka memang tiada kesepakatan dalam apa jua masalah yang
berlaku,” katanya kepada UMNO-Online.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya itu lagi, bukan sahaja berkaitan
kerajaan perpaduan, malah banyak lagi isu yang dihidangkan kepada
masyarakat umum menunjukkan antara mereka memang tidak pernah ada sifat
percaya-mempercayai antara satu sama lain.
“Dengan isu hududnya, isu pilihan raya pihak berkuasa tempatannya dan
terbaharu isu kabinet bayangan apabila Dr. Wan Azizah berkata akan
senaraikannya, tetapi secara tiba-tiba Dap muncul dengan bayangan mereka
sahaja tanpa penglibatan rakan yang lain.
“Walhal, mereka juga yang melantik dan memilih Presiden PKR itu
menjadi ketua pembangkang di Parlimen, tetapi dalam masa yang sama,
mereka sendiri menafikan kemampuan dan kredibiliti Dr. Wan Azizah itu.
“Nampak tiada kejujuran antara mereka, masing-masing umpama enau di
dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Adakah ini ciri-ciri
parti yang boleh diambil untuk mengurus dan mentadbir negara?” soal Ahli
Parlimen Papar itu.
Tambahnya yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,
tindak-tanduk mereka ini jelas kelihatan berpakat yang hanya semata-mata
untuk kepentingan parti politik masing-masing iaitu hanya dikulit
sahaja berpegang kepada atas nama rakyat tetapi hakikatnya, mereka
saling mempergunakan sesama sendiri apabila ada peluang.
“Tetapi akhirnya, seperti biasa, apa sahaja masalah yang timbul
antara mereka, mereka akan ‘cuci tangan’ dan menyalahkan UMNO dan
Barisan Nasional,” tegasnya lagi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment