Wednesday, May 27, 2015
RM50 Bilion Bantu Koperasi Menjelang 2020
28 Mei 2015, Kuala Lumpur : Kerajaan menyasarkan peruntukan sebanyak RM50
bilion bagi menjayakan Dasar Koperasi Negara (DKN) menjelang tahun 2020
sebagai usaha untuk menaik taraf dan mengembangkan peranan koperasi
kepada rakyat, sekali gus membantu meningkatkan dasar kewangan negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,
Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, peruntukan tersebut bagi
membantu koperasi dalam menyalurkan bantuan dan pinjaman kepada
ahli-ahlinya yang memerlukan modal dan pembiayaan sebelum menjalankan
sesuatu perniagaan ataupun projek.
“Sebelum ini, peruntukan kepada setiap koperasi yang berdaftar adalah
maksimum RM10 juta, namun jumlah tersebut tidak cukup dan perlu
ditambah dari semasa ke semasa.
“Pada tahun ini, peruntukan itu akan ditambah kepada RM30 hingga RM50
juta bagi setiap koperasi dalam usaha menjadikan koperasi negara lebih
berkembang dan aktif,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan
Tahunan Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) Angkasa kali
ketiga di Auditorium Angkasa, Wisma Ungku Aziz.
Yang turut hadir Pengerusi Kopsya, Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Kata Ahmad Bashah, koperasi di Malaysia kini telah mengorak langkah
ke hadapan dengan menyertai pelbagai bidang komersial berimpak tinggi
dan kompetitif dengan memperoleh pulangan yang lebih lumayan.
“Contohnya Kopsya telah berjaya menceburi bidang berimpak tinggi
seperti industri perhotelan dan kewangan melalui penglibatan sebanyak
665 koperasi yang telah menjadi anggota Kopsya dengan pegangan modal
syer mencecah RM34.5 juta.
“Pertambahan dana dari pelbagai sumber telah menyaksikan perniagaan
Kopsya meningkat secara positif. Sehingga April 2015, dananya berjumlah
RM101 juta yang diperoleh daripada produk-produk pembiayaan sedia ada,”
katanya.
Katanya, melalui penglibatan koperasi sama ada dalam Kopsya atau
penglibatan yang lain dapat dilihat oleh rakyat bahawa satu gerakan yang
boleh membantu kerajaan dalam pencapaian kadar pertumbuhan Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Melalui Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan, banyak perkara
dibincangkan supaya gerakan koperasi dapat ditingkatkan peranan dan
fungsinya khususnya bagi membantu pertumbuhan kewangan negara.
“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan
Malaysia Berhad (Angkasa) memainkan peranan penting dalam perkembangan
koperasi negara ini yang merangkumi pelbagai aspek seperti sektor
perkhidmatan kewangan, pertanian dan industri asas tani serta
pelancongan dan perhotelan,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment