Wednesday, May 20, 2015
Rakyat Tunjang, Keutamaan RMK11 – Najib
21 Mei 2015, Kuala Lumpur : Rakyat menjadi tunjang serta keutamaan dalam
semua usaha pembangunan negara yang digarap dalam Rancangan Malaysia
Ke-11 (RMK11) bagi memacu negara dalam tempoh lima tahun terakhir menuju
status negara maju pada 2020, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana menteri berkata RMK11 memberi tumpuan terhadap penyampaian
hasil berimpak tinggi yang cepat kepada ekonomi modal dan ekonomi rakyat
dengan kos berpatutan.
“Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan memastikan rakyat terus
menikmati kemakmuran, kita perlu mara ke hadapan dengan keazaman lebih
tinggi dan mengambil langkah berani demi manfaat rakyat dalam jangka
panjang,” katanya dalam prakata dokumen RMK11 bertemakan ‘Pertumbuhan
Berpaksikan Rakyat’ yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Ini mengambil persekitaran global yang lebih mencabar dengan jangkaan
ekonomi global yang kurang stabil dan menentu akibat kejatuhan harga
minyak, naik turun nilai mata wang serta risiko geopolitik.
Dalam tempoh rancangan lima tahun dari 2016 hingga 2020, Najib
berkata produktiviti dan inovasi akan menjadi tonggak utama sebagai
kesinambungan kepada rancangan pembangunan terdahulu untuk mencapai
hasil yang dihasratkan termasuk menjana kekayaan melalui inovasi.
“Kedua-dua lonjakan itu akan menjadi asas kukuh kepada pembangunan
ekonomi mampan, menjana peluang baharu dalam ekonomi dan memastikan
kesejahteraan serta kemakmuran rakyat berterusan,” katanya.
Mengimbas tempoh lima tahun lalu, Najib berkata ekonomi negara telah
mencapai prestasi sangat cemerlang meskipun berdepan pelbagai cabaran
ekoran kelembapan ekonomi global.
Beliau berkata Malaysia tetap berupaya berada dalam kalangan negara
yang mencatat kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
tertinggi di rantau ini.
“Kualiti hidup rakyat juga bertambah baik berikutan peningkatan pendapatan per kapita dan pendapatan purata isi rumah,” katanya.
Perdana menteri berkata penambahbaikan itu hasil pelbagai inisiatif
pemantapan ekonomi dan tadbir urus antaranya menerusi Program
Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang
disokong Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).
Berbaki lima cuma tahun lagi sebelum 2020, Najib menyifatkan RMK11
suatu langkah kritikal dalam perjalanan menjadi negara maju yang
inklusif dan mampan.
Justeru, katanya sokongan, komitmen serta dedikasi setiap rakyat amat penting dalam memastikan kejayaan RMK11.
“Saya percaya bahawa kegemilangan negara kita bergantung kepada
semangat kental, perkongsian nilai dan impian serta bakat besar rakyat
Malaysia,” katanya, turut menyeru semua rakyat bersamanya mengorak
langkah dalam pusingan akhir perjalanan ke arah negara maju.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment