Sunday, May 24, 2015

“Keyakinan Dan Sokongan Ikhlas Rakyat Beri Saya Kekuatan,” – Najib

23 Mei 2015, Kuantan : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keyakinan dan sokongan ikhlas yang ditunjukkan rakyat memberikan semangat kepada beliau untuk terus berjuang walaupun mendapat tekanan daripada pihak tertentu sejak kebelakangan ini.

Najib berkata, hasil lawatan ke beberapa negeri baru-baru ini, beliau yakin rakyat akan terus berdiri teguh menyokong kepimpinannya bagi meneruskan agenda pembangunan negara yang masih belum selesai.

“Kita berkumpul hari ini (di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Kuantan) seramai 12,000 orang, malah 20,000 orang pun kita boleh kumpulkan, 40,000 pun boleh, di Tawau kita kumpulkan 40,000 orang, manakala di Johor 15,000 orang.

“Saya tahu angka bukan segalanya, tetapi saya dapat lihat keikhlasan tuan-tuan. Kita menang kerana kita bermuafakat, apabila percaya kepada pemimpin, parti jadi kuat, tetapi apabila berbalah sesama sendiri, tuhan akan tarik kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Himpunan Solidariti 14 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di sini hari ini yang dihadiri oleh lebih 12,000 orang daripada 14 bahagian UMNO Pahang.

Himpunan anjuran Pemuda UMNO Pahang itu turut dihadiri Ketuanya Shahar Abdullah serta beberapa ketua UMNO bahagian termasuk Ketua UMNO Bahagian Maran Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail.

Najib turut merakamkan penghargaan kepada Pemuda UMNO Pahang yang menganjurkan perhimpunan itu dengan sokongan UMNO Pahang.

Katanya walaupun tanpa kehadiran Pengerusi Badan Perhubungannya Datuk Seri Adnan Yaakob, namun Menteri Besar Pahang itu telah meminta sokongan padu daripada seluruh jentera UMNO negeri diberikan kepada beliau.

“Sultan Pahang pun sokong saya…daripada raja sampai ke rakyat biasa..saya terharu dengan sokongan ini, dengan mandat yang diberikan itu saya akan buat yang terbaik untuk negara dan Pahang,” katanya yang disambut dengan sorakan serta tepukan gemuruh daripada mereka yang hadir.
KUANTAN, 23 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melambai tangan kepada penyokong-penyokongnya ketika hadir pada Himpunan Solidariti 14 hari ini. Lebih 12,000 anggota daripada 14 Bahagian UMNO Pahang berkumpul di sini bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri yang menerima pelbagai tekanan dari luar mengenai pentadbiran beliau. --fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA
Najib berkata, setiap masalah yang berbangkit boleh diselesaikan dengan baik tanpa perlu berbalah.

“Tidak ada masalah yang tak boleh selesai, dahulu pun ada masalah, saya jadi Panglima Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad), saya pertahankan panglima, sekarang (giliran) Pemuda pula pertahankan saya.

“Tidak ada kekusutan yang tidak boleh rungkai, keyakinan akan terus beri semangat untuk saya jaga kawasan. Saya nak Pahang jadi kubu kuat dan jangan sampai ada meracun akal kita, pastikan pokok teguh,” kata Najib.

Menurutnya pemilihannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO dilakukan rakyat dan ribuan anggota UMNO dari seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau sama sekali tidak akan tunduk kepada desakan seorang individu yang mahukannya meletak jawatan.

“Bahtera kita sudah belayar, layar sudah tegak, tuan-tuan nak minta saya berpatah balik.. sudah tentu tidak,” katanya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment