Sunday, May 24, 2015
Pemimpin Dan Parti Tidak Boleh Dipisahkan- Najib
23 Mei 2015, Gopeng : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata parti dan pemimpin tidak boleh dipisahkan.
Beliau berkata justeru, jika seseorang pemimpin sering diburuk-burukkan, parti akan lemah.
“Kalau kita perkuatkan pemimpin, kita akan perkuatkan parti. Bila parti kuat, kita akan berjaya dalam pilihan raya.
“Oleh itu, inilah ramuan kejayaan kita,” katanya ketika berucap di
depan lebih 20,000 orang ketika melakukan lawatan kerja di Pusat
Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng hari ini.
Najib berkata sehubungan itu, sekarang bukan masa untuk bercakaran atau berbalah sesama sendiri.
“Ini masa untuk kita bersatu dan melihat agenda perubahan negara untuk mencapai status negara maju,” katanya.
Perdana Menteri berkata Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO
serta parti komponen yang lain sudahpun membina satu institusi yang
tiada tolok bandingnya.
“Saya dah pergi ke banyak negara. Parti-parti lama banyak yang dah
terkubur atau hilang kuasa tetapi BN dan UMNO masih lagi gagah berdiri,
dan ini mesti kita pertahankan,” katanya.
Beliau berkata cabaran yang dihadapi kini juga adalah berbeza berbanding dahulu.
“Dulu tak ada media sosial dan istilah ‘viral’. Dulu kalau surat
khabar tak keluar, tak adalah cerita.
Tapi hari ini tulis saja dalam
blog, tulis dalam Twitter, dalam Facebook, sudah boleh jadi viral.
“Dan ini adalah cabaran yang ada pada kita, bagaimana kita nak menangani semua ini,” katanya.
Najib berkata selepas menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009,
beliau terpaksa berdepan dengan pembangkang yang lebih bertenaga,
khususnya di Perak.
“Perak lain masa itu, bukan lagi Amanjaya kerana Perak masa itu tak aman dan tak jaya.
“Masa tu kita bimbang apa akan jadi kepada Perak di bawah pembangkang
tetapi berkat pemuafakatan, sebab kita bermuafakat, kita berjaya ambil
alih pentadbiran negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata pada pilihan raya umum ke-13, ramai yang meramalkan
bahawa BN tidak mungkin dapat mempertahankan Perak yang didakwa dikuasai
semula selepas tiga wakil rakyat bebas kembali ke pangkuan BN.
“Kita telah buktikan bila kita bermuafakat, bila kita bersatu sesama
kita, bila kita dapat memikir strategi-strategi yang tepat lagi bijak
maka pada 2013, bumi Perak ini dapat dipertahankan oleh BN,” katanya.
Najib berkata ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau
berdepan cabaran untuk memulihkan Malaysia yang turut terjebak dengan
kemelesetan ekonomi dunia.
Katanya, beliau memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dan tahun
lepas Malaysia mencatat kadar pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan
berbanding negara lain, terutama di rantau Asean.
“Kemudian saya perkenalkan model ekonomi baharu kerana kita
bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju di
bawah Wawasan 2020, yang diperkenalkan (bekas perdana menteri) Tun Dr
Mahathir Mohamad.
“Saya akan tetap meneruskan dasar-dasar yang dibuat oleh pemimpin ini untuk kebaikan bersama,” katanya.
Beliau berkata semua dasar dan agenda yang dibuat adalah demi kepentingan rakyat.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment