Monday, May 25, 2015
Nasib Guru KAFA Hanyalah Secebis Kisah Malang Rakyat Selangor
25 Mei 2015, Kuala Lumpur : Pemuda UMNO Selangor melihat nasib yang
diterima Guru sandaran Kelas Agama Fardhu Ain (Kafa), Ekhsan Bukharee
Badarul Hisham yang dipecat daripada jawatannya hanyalah secebis kisah
peristiwa malang rakyat negeri tersebut.
Sambil merakamkan simpati dengan apa yang menimpa guru terbabit,
Ketuanya, Zainuri Datuk Zainal seterusnya berkata perkara berkenaan
tidak seharusnya berlaku kerana guru agama berkenaan sekadar menuntut
janji pilihan raya dan ianya tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja.
Tambahan pula ujar beliau bukankah pakatan pembangkang selalu
menonjolkan diri mereka sebagai parti yang membela dan memperjuangkan
nasib rakyat selain mewarkan-warkan perjuangan yang penuh dengan
warna-warni demokrasi.
“Kenapa hari ini tuntutan oleh saudara kita, Ekhsan tidak
dipertimbangkan…malah jauh lebih daripada itu berdepan dengan satu
keadaan yang cukup sukar apabila dipecat oleh agensi berkaitan.
“Apakah ini balasan terhadap mereka yang cuba meraikan
demokrasi…mereka yang menuntut janji. Amat malanglah jika ini adalah
‘penghargaan’ terhadap apa yang diperjuangkan oleh guru berkenaan.
Tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
“Kita berharap kerajaan negeri melihat perkara ini secara teliti dan
mendalam kerana tugas guru adalah satu tugas yang cukup mulia. Janganlah
diperlakukan sedemikian rupa,” katanya kepada UMNO-Online, di sini,
hari ini.
Memetik laporan, Guru Kafa, Ekhsan Bukharee menyifatkan kerajaan
negeri dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai kejam apabila
langsung tidak memberi peluang kepadanya untuk membela diri.
Malah Ekhsan yang ditamatkan perkhidmatannya berkuatkuasa 1 Jun depan
berkata beliau juga tidak diberikan peluang untuk merayu keputusan
pemecatannya itu.
Zainuri seterusnya menambah itulah bezanya antara kerajaan yang ditadbir oleh pakatan pembangkang dengan Barisan Nasional (BN).
Katanya BN tidak sewenang-wenangnya berjanji sebaliknya melihat serta
membuat kajian secara mendalam dan selepas itulah ianya dilaksanakan.
“Itulah bezanya dan itulah harga yang cukup mahal dibayar oleh rakyat
Selangor. Itu hanya secebis kisah dan kita rasa mungkin akan ada lagi
yang bakal timbul selepas ini. Kita tunggu dan lihat selanjutnya kelak,”
ujarnya.
Dilaporkan lagi, Ekhsan turut memberitahu, penamatan perkhidmatan
terhadapnya diambil adalah atas alasan yang langsung tidak berasas
seperti yang didakwa oleh Jais kononnya beliau telah menjejaskan nama
jabatan tersebut.
Antara alasannya ialah:
1. Bertindak dengan niat memprovokasi untuk memasuki sidang DUN
Selangor pada 8 April 2015 walaupun telah dihalang oleh pegawai dan
pegawai bertugas.
2. Gagal mematuhi nasihat panel penyiasat agar membatalkan sidang media yang dijadual pada 14 April 2015.
3. Gagal mematuhi persetujuan yang telah dibuat bersama dengan panel
penyiasat dalam perbincangan pada 24 April 2015 untuk berhenti daripada
membuat kenyataan media.
4. Prestasi kerja yang rendah dan gagal menunjukkan kesungguhan untuk
berubah walaupun telah diberi nasihat oleh pengurusan sekolah Unit
Pendidikan Islam Daerah dan Bahagian Pendidikan Islam di Jais.
Terdahulu Jais memberitahu Ekhsan melanggar perjanjian pelantikannya sebagai guru Kafa, justeru beliau dikenakan tindakan.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment