Sunday, May 31, 2015

JPP Jentera Transformasi Sosial Di Bandar – Najib

29 Mei 2015, Putrajaya : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) yang dilancarkan hari ini memainkan peranan sebagai jentera perubahan transformasi sosial yang bermakna kepada negara di kawasan bandar.

Beliau berkata JPP, yang dianggotai wakil masyarakat setempat dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), akan menyebabkan berlakunya satu ledakan evolusi pentadbiran negara dengan masyarakat mencerminkan negara maju.

Katanya negara maju tidak akan lengkap jika penduduk bandar tiada kepimpinan yang mencerminkan masyarakat yang mahu perubahan, dinamik dan mahu satu impian yang hebat untuk negara.

“Hubungan emosi (antara kerajaan dan penduduk bandar) longgar. Jadi ia boleh diperbetulkan melalui kepimpinan JPP,” katanya ketika melancarkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk peringkat Kebangsaan yang dihadiri 4,000 anggota jawatankuasa JPP di sini.

JPP, yang diilhamkan Najib, berperanan menjadi pemudah cara antara agensi kerajaan persekutuan dan rakyat bagi mewujudkan bandar yang sejahtera.

Najib berkata JPP perlu memainkan peranan sebagai jentera yang penting seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di luar bandar.

Beliau berkata penubuhan JPP merupakan satu inisiatif kerajaan persekutuan bagi melaksanakan transformasi pengurusan bandar memandangkan kini hampir 70 peratus penduduk negara ini tinggal di bandar.

“Angka ini akan terus meningkat kepada 75 hingga 80 peratus menjelang 2020,” katanya.
Selain transformasi ekonomi dan kerajaan, Najib berkata transformasi sosial mesti berlaku khususnya di kawasan bandar yang berdepan dengan pelbagai cabaran dan masalah yang kompleks serta harapan penduduk bandar yang lebih tinggi.

“Kalau jalan ada lubang atau parit tersumbat, harapan masyarakat bandar ialah kerajaan ada jalan penyelesaiaan dan tindakan segera. Jangalah sampai berbulan-bulan lubang itu tidak dikambus dan parit sampai tersekat aliran.

“Tapi masalah di bandar bukan setakat itu sahaja, isu keselamatan jenayah tidak boleh serah kepada polis sahaja. JPP mestilah memainkan peranan wujudkan konsep bandar selamat dan membuat rondaan dan mengalakkan masyarakat membuat sesuatu menjaga kawasan masing-masing,” kata Najib.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata JPP dibentuk untuk menjadi jambatan merapatkan hubungan emosi yang renggang antara kerajaan dengan rakyat di bandar dan membolehkan kerajaan menjadi ‘telinga pertama’ mendengar permasalahan rakyat.

“Peranan kerajaan persekutuan tidak dirasai di kawasan bandar walaupun lebih 70 peratus perkhidmatan yang diberi seperti kesihatan dan keselamatan datang daripada agensi persekutuan,” katanya.
http://www.hotkelate.tv/wp-content/uploads/2015/04/najib-tun-razak.jpg
JPP memberi peluang dan menggalakkan penyertaan penduduk dalam program-program dan pembangunan di kawasan bandar bagi kemampanan kejiranan.

Penduduk juga akan berpeluang mengemukakan pandangan dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat untuk diambil tindakan oleh kerajaan.

Sebanyak 2,288 JPP diwujudkan di 98 PBT di seluruh negara kecuali di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim, Lembaga Bandaran Johor Tenggara dan Lembaga Kemajuan Tioman serta Sabah dan Sarawak.

Setiap PBT dipecahkan kepada 24 zon JPP dan bilangannya boleh diubah suai berdasarkan kepadatan penduduk serta isu berbangkit di PBT terbabit.

Dipetik daripada sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment