Wednesday, May 27, 2015
Isu Rohingya : Serlahkan Lagi Amalan Politik Tong Kosong
27 Mei 2015, Kuala Lumpur : Pakatan pembangkang disifatkan sebagai parti
yang hanya tahu menangguk di air keruh apabila seringkali mengambil
kesempatan daripada isu tertentu untuk memburuk-burukkan kerajaan tetapi
apabila diminta untuk memberi komitmen dan berganding bahu, mereka akan
memberi pelbagai alasan melepas diri.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata
demikian mengulas mengenai sikap pembangkang yang mendesak dan
menyalahkan Kerajaan Persekutuan kononnya tidak menangani isu Rohingya
dengan baik.
Sedangkan pada hakikatnya jelas beliau, kerajaan Barisan Nasional
(BN) sejak dahulu sentiasa konsisten membantu masyarakat tersebut.
“Isu masyarakat Rohingya adalah isu yang telah berlaku sejak begitu
lama. Kerajaan sentiasa konsisten di dalam menangani perkara ini kerana
telahpun membenarkan beribu rakyat tersebut berada dalam negara ini.
“Hari ini, dilihat peranan Malaysia di peringkat antarabangsa cukup
jelas dan diakui oleh banyak pihak. Kita bercakap di pelbagai forum
antarabangsa baik di mana pentas sekalipun, tidak pernah kita
terkebelakang daripada memperjuangkan isu ini.
“Ini membuktikan bahawa sejak dahulu hingga kini secara konsisten dan
berprinsip Negara berjuang dan membela kaum ini,” ujarnya kepada
UMNO-Online.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya berkata,
perjuangan dan pembelaan Kerajaan BN bukanlah atas dasar kaum Rohingya
ini beragama Islam tetapi berjuang atas prinsip kemanusiaan.
“Kerajaan BN memang menjadi pejuang tulen terhadap isu ini. Yang
menjadi masalah adalah sesetengah pihak yang bercakap kononnya merekalah
yang memperjuang dan mengambil berat isu Rohingya malah mempertikaikan
pula keikhlasan kerajaan BN menyelesaikannya.
“Kerajaan negeri Pulau Pinang misalnya, apabila diminta oleh Kerajaan
Persekutuan untuk bersama-sama menangani isu ini pelbagai alasan mula
dicipta dan diberi kononnya tiada tempat menarik dan sebagainya.
“Ini sebenarnya satu alasan. Sekiranya benar mereka mengambil berat
sudah pasti tidak akan memberi sebarang alasan untuk mengelak,” katanya.
Jelasnya lagi, pembangkang sebenarnya berjuang hanya untuk mendapat sokongan daripada rakyat demi kepentingan politik.
“Penolakan dan dolak-dalik mereka untuk menjadikan negeri pimpinan
mereka sebagai penempatan sementara masyarakat Rohingya adalah bukti
kukuh bahawa mereka hanya beretorik di dalam memperjuangkan isu ini.
“Saya berharap rakyat lihatlah wajah sebenar pembangkang kerana jika
benar mereka ingin berjuang maka benarkanlah, beri dan tunjukkan
komitmen. Jangan hanya tahu bercakap,” tegasnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment