Monday, May 25, 2015

Prosiding Siasatan 1MDB Oleh PAC Esok Ditangguhkan

25 Mei 2015, Kuala Lumpur : Esok hari yang sepatutnya dijadualkan berlangsung prosiding siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian.
http://310627192.r.worldcdn.net/media/k2/items/cache/5b387d66214e46c0918c29addb44f55c_XL.jpg
Menurut Pengerusi PAC Parlimen Malaysia, Datuk Nur Jazlan Mohamed memaklumkan perkara tersebut dalam sidang medianya di Parlimen menjelaskan penangguhan itu dilakukan selepas diberitahu CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi tidak dapat hadir.

Kedua-dua mereka dilaporkan mempunyai urusan di luar negara pada pada esok hari. Menurut Jazlan, prosiding membabitkan 1MDB ini memerlukan kehadiran mereka berdua bagi melengkapkan siasatan PAC.

Dalam kenyataan media itu juga, Jazlan menjelaskan penangguhan ini tidak bermakna siasatan akan dilewatkan sebaliknya menegaskan perlunya kedua-dua CEO dan bekas CEO tampil menemui PAC secepat mungkin untuk menyelesaikan isu berkaitan 1MDB.

“Kami telah bincang mengenai isu ini dan ambil ketetapan bahawa kita hendak juga Arul Kanda dan Datuk Shahrul untuk hadir berdepan dengan PAC cuma kita memberikan mereka masa mengikut surat mereka tapi kita berharap mereka akan dapat datang ke PAC secepat mungkin untuk memberikan keterangan,”katanya.

PAC juga akan menghantar semula surat panggilan rasmi kepada Kementerian Kewangan selaku Pegawai Pengawal syarikat 1MDB dan menetapkan semula tarikh yang sesuai untuk prosiding siasatan ini.

Penangguhan tersebut dipersetujui oleh Jawatankuasa PAC yang turut dibarisi lima Ahli Parlimen Pembangkang dan mereka bersetuju memberi tempoh masa kepada pengurusan 1MDB untuk bersedia dengan semua maklumat dan dokumen sebelum hadir pada prosiding akan datang.

“Kita juga menganggap penangguhan ini akan memberikan masa untuk mereka menyediakan segala dokumen dan maklumat yang diperlukan PAC untuk membantu siasatan kami,” ujar beliau.

Serentak dengan itu, PAC juga menyeru rakyat Malaysia khususnya pengamal media sosial supaya menghentikan segala spekulasi dan tohmahan terhadap kredibiliti Jawatankuasa PAC.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment