Monday, May 18, 2015

Desakan Letak Jawatan Membelakangi Kehendak Majoriti Ahli UMNO – Najib

18 Mei 2015, Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hakikat beliau adalah Presiden UMNO pertama yang dipilih melalui sistem yang lebih terbuka dan demokratik selepas pindaan perlembagaan parti, perlu dihormati kesemua anggota parti.
PM Sokong
Justeru, katanya desakan beberapa pihak untuk beliau melepaskan jawatan tidak wajar kerana ia membelakangkan kehendak majoriti anggota parti.

“Sebagai presiden parti, saya amat berterima kasih atas sokongan anda dan saya dipilih kerana apa?

Melalui apa? Melalui permilihan dalam parti, di mana perlembagaan parti telah dipinda (pada tahun 2009),” katanya ketika berucap PADA Majlis Veteran UMNO Sepetang Bersama Presiden, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib berkata, sistem pemilihan pucuk pimpinan pada masa kini adalah lebih terbuka dan telus berbanding sistem terdahulu, yang mana ia menggunakan undi bonus dan kuota untuk mengekalkan jawatan tertinggi parti.

Beliau berkata sekiranya beliau mahu kekal memegang tampuk pemerintahan  selama 22 tahun seperti Perdana Menteri Keempat Tun Dr Mahathir Mohamad (1981-2003), beliau tidak akan bersetuju dengan cadangan untuk meminda perlembagaan parti.

Najib berkata di sebalik cabaran demi cabaran yang ditempuhi UMNO, beliau akan terus berjuang demi kepentingan parti serta berusaha memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Kita nak jaga parti, kita tak boleh hancurkan parti kita, (kerana) parti kitalah penyelamat kita … orang Melayu tak ada tempat lain bergantung harap melainkan parti keramat ini. Jangan binasakan UMNO, sayangilah UMNO dan jagalah UMNO,” katanya dan menambah setiap permasalahan boleh diperbetulkan dan  diselesaikan secara muafakat.

Menurutnya, meskipun UMNO berdepan dengan pelbagai cabaran, parti itu masih kuat dan mampu menerajui negara.

“Hanya kalau kita berpecah dari dalam sahaja yang akan mengakibatkan kita kehilangan kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan hadirin bahawa penglibatan beliau dalam politik adalah bagi meneruskan perjuangan bapanya, yang juga perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Kalau Allahyarham merupakan bapa pembangunan negara, bapa pembangunan luar bandar, pencetus kepada DEB (Dasar Ekonomi Baru), melahirkan MARA (Majlis Amanah Rakyat), FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan), RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah), BERNAS (Padiberas Nasional Berhad)), Bank Bumiputra dan pelbagai lagi agensi dan badan lain.

“Maka saya sebagai anakandanya, berazam untuk bukan saja teruskan perjuangannya tetapi juga membawa negara kita, rakyat Malaysia, orang Melayu, ke tahap yang lebih tinggi lagi. Ini azam saya,” katanya.

Najib menegaskan bahawa setiap dasar yang beliau perkenal dan laksanakan tidak lari dan tergelincir daripada prinsip dan perjuangan parti.

Perdana Menteri berkata, walaupun DEB sudah tiada lagi, namun agenda pemerkasaan Melayu dan Bumiputera akan terus diangkat menjadi agenda nasional selagi beliau memegang tampuk pemerintahan.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment