Monday, May 18, 2015
Najib Harap Beri Ruang Bertugas
18 Mei 2015, Kuala Lumpur : Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau
perlu diberi ruang dan peluang untuk menjalankan tugas sebagai Presiden
UMNO yang pertama dipilih oleh akar umbi melalui sistem pemilihan yang
lebih terbuka serta demokratik.
Perdana Menteri berkata, proses pemilihan parti yang diamalkan sejak
Perlembagaan UMNO dipinda pada 2009 adalah berbeza dengan sistem
diamalkan sebelumnya.
Menurut beliau, di bawah sistem lama, kira-kira 2,500 perwakilan boleh mengundi manakala Presiden UMNO mempunyai undi bonus.
“Selepas itu (hendak bertanding) ada kuota, sesiapa yang hendak
mencabar Presiden mesti ada 63 pencalonan. Tuan-tuan ingat senangkah
hendak dapatkan undi 63 bahagian?
“Sebab itu Tun (bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad)
kekal 22 tahun,” katanya ketika berucap dalam majlis Veteran UMNO
Sepetang Bersama Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di
sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor; Pengerusi Veteran UMNO, Tan Sri Tajol Rosli Mohd. Ghazali
dan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.
Najib memberitahu, proses pemilihan di bawah Perlembagaan UMNO baharu
dilaksanakan kerana beliau mahu dipilih secara ikhlas oleh ahli-ahli
parti.
“Kalau saya dipilih oleh ahli-ahli parti, kenapa nak ganggu saya? Kenapa nak suruh saya turun,” ujarnya.
Perdana Menteri menambah, beliau tidak berminat untuk membangkitkan
isu-isu lama kerana perbuatan itu seperti membuka pekung di dada.
“Kita hendak menjaga parti, kita tak boleh hancurkan parti kita, parti yang menyelamatkan kita,” jelasnya.
Najib menjelaskan, sebagai anak bekas Perdana Menteri, Allahyarham
Tun Abdul Razak Hussein, beliau tidak akan mengkhianati perjuangan UMNO.
Malah, beliau bertekad untuk memperkukuhkan UMNO demi memastikan kelangsungan orang Melayu.
“Namun, saya perlukan sokongan semua untuk menyelesaikan agenda
transformasi, jika ada silap di mana-mana, boleh dirunding dan cari
jalan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah,” katanya.
Perdana Menteri memberitahu, beliau tidak mengharapkan sokongan untuk
keuntungan peribadi semata-mata tetapi untuk memperjuangkan masa depan
yang lebih baik bagi rakyat.
Sementara itu, Tajol Rosli dalam ucapannya berkata, ahli-ahli UMNO
perlu berwaspada dengan anasir-anasir yang cuba menghancurkan parti dari
dalam.
“Kita sepatutnya bersama-sama memperkasakan ‘pohon’ UMNO supaya walau
betapa kencang sekalipun angin melanda, ‘pohon’ UMNO tetap berdiri
teguh,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment