Wednesday, May 27, 2015

Dakwaan Dianaktirikan… Pembangkang Sentiasa Cuba Lupa Fakta

27 Mei 2015, Kuala Lumpur : Dakwaan daripada pemimpin negeri pembangkang terutamanya Pulau Pinang yang mengatakan mereka dianaktirikan di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) hanyalah kenyataan yang lebih berbaur politik semata-mata bagi menimbulkan persepsi negatif kepada Kerajaan Persekutuan, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Haji Sulaiman Abdul Razak.

Menurut beliau, sebenarnya itulah propaganda pembangkang yang cuba hendak dimainkan, iaitu menanam sentimen membenci Kerajaan Persekutuan dan seolah-olah hendak menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ini tidak berlaku adil kepada masyarakat negeri mereka.

“Pembangkang seperti biasa, permainan sentimen dan budaya membenci menjadi amalan mereka, hakikatnya tidak seperti yang mereka tuduh, kononnya dianaktirikan.

“Kalau adapun kurang sedikit projek-projek sebab Pulau Pinang dan Selangor tergolong dalam negeri maju dan yang mempunyai pendapatan perkapita yang tinggi,” katanya kepada UMNO-Online.

Hakikatnya jelas beliau, sebagaimana yang dibentang di dalam Dewan Rakyat, penyenaraian 10 projek baharu bernilai RM2.3 bilion bagi menaik taraf lebuh raya dan laluan sekitar Pulau Pinang dalam RMK11 bukti Kerajaan Persekutuan tidak mengenepikan negeri itu.
Datuk Haji Sulaiman Abdul Razak
Begitu juga tambahnya dengan pengumuman membina Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan projek tebatan banjir.

“Malahan di Selangor telah pun mendapat projek pembangunan antaranya seperti Lebuh Raya Pantai Barat, Lebuh Raya Damansara Shah Alam, projek ‘Mass Rapid Transit’ (MRT) jajaran pertama dan kedua serta Transit Aliran Ringan (LRT3) Bandar Utama ke Shah Alam yang terlebih dahulu telah diumumkan sebelum ini”, ujarnya.

Justeru itu, beliau berpandangan, semua pihak perlu bersikap realistik yang bukan hanya melihat kepada RMK11, tetapi perlu melihat kepada rekod-rekod yang lepas, umpamanya semasa banjir di Kelantan, Perdana Menteri telah mengumumkan bantuan hampir RM500 juta, bukti Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengenepikan, di negeri Selangor pun lebih RM23 bilion untuk MRT, semuanya itu untuk pembangunan negeri.

“Saya melihat RMK11 adalah bertujuan untuk menyeimbangkan pembangunan supaya negeri-negeri yang memerlukan pembangunan yang lebih seperti Sabah, Sarawak dan sebagainya mendapat keutamaan.

“Ini supaya pembangunan dapat dirasai dan dinikmati oleh semua rakyat di dalam negara kita.

“Jadi, kalau kerajaan beri fokus yang lebih kepada negeri-negeri di Pantai Timur dan Malaysia Timur, saya ingat itu tidak boleh dijadikan isu sebab itu memang fokus kerajaan untuk rakyat negeri tersebut seperti Lebuhraya Pan Borneo dan hospital,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang itu berpendapat jika pembangkang hendak menjadikan RMK11 sebagai satu alasan, itu satu kenyataan yang tidak boleh diterima, kerana rekod-rekod sebelum ini telah membuktikan kerajaan negeri pembangkang juga banyak menerima nikmat pembangunan bukan sahaja infrastruktur tetapi juga di dalam pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

“Rakyat perlu tahu ianya sebagai satu fakta, bukan propaganda dan sentimen yang dimainkan oleh beberapa pihak.

“Kenapa Selangor tidak komplen berkenaan pembangunan? Ini kerana Selangor telah menerima banyak pembangunan,” katanya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment