Sunday, May 24, 2015

Pulau Pinang Tetap Jadi Pusat Penempatan Pelarian - Zahid

25 Mei 2015, Kuala Lumpur : Kerajaan Persekutuan tetap akan menempatkan pelarian Rohingya dan Bangladesh di pusat penempatan sementara di Pulau Pinang walaupun kerajaan negeri menolaknya.
http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2013/05/Zahid-Hamidi.jpg
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, tempat itu hanya akan disediakan jika ada pelarian baru yang dikesan pada masa akan datang.

Katanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menentukan lokasi yang bersesuaian.

“Ini membuktikan kerajaan Pusat ikhlas membantu pelarian-pelarian tersebut bukan seperti DAP, PKR dan PAS yang bising soal kemanusiaan tetapi enggan membenarkan pusat tahanan di tanah milik kerjaaan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri di Kompleks Penjara Kajang pada Ahad.

Menurut Zahid pembangkang hanya berkokok seperti ayam jantan tanpa telor apabila menuduh pusat tidak membantu pelarian sedangkan kerajaan DAP Pulau Pinang pun enggan menolong atau menerima pelarian tersebut.

“Tentu kita mahu melihat keikhlasan kerajaan Pulau Pinang yang diketuai DAP dan dianggotai PKR dan PAS. Selama ini (mereka) jadi pejuang kemanusiaan dan sentiasa menyalahkan kerajaan yang tak laksanakan dasar kemanusiaan, untuk menerima pelarian berkenaan.

“Kita yakin kerajaan Persekutuan cukup ikhlas untuk guna tanahnya bagi penempatan pelarian berkenaan, berbanding saya katakan tadi, jaguh pejuang kemanusiaan sejagat tetapi hanya kokokkan ayam jantan yang tak ada telurnya,” katanya.

Dianggarkan kira-kira tujuh ribu pelarian Rohingya masih di laut.

Zahid berkata 2,800 sudah ditempatkan di depoh tahanan di Belatik Sik, Kedah.

Sementara itu berhubung penemuan sebuah kubur besar di kawasan sempadan Padang Besar yang dipercayai mengandungi 100 mayat pendatang Rohingya, Zahid memaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan timbalannya Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim kini berada di sempadan Thailand untuk mengecam mayat tersebut.

Katanya ada 14 kem dan 7 khemah ditemui di percayai ada kaitan dengan pemerdagangan manusia.

Zahid berkata beliau dimaklumkan tentang penemuan itu oleh unit VAT 69 dan PGA pada minggu lalu.

Beliau berkata khemah-khemah tersebut dipercayai telah beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun dan ia ditinggalkan ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.

Maklumat terperinci hanya akan diketahui selepas siasatan nanti katanya.

Dipetik daripada sumber : BNBBC

No comments:

Post a Comment