Tuesday, May 19, 2015
Aibkan Diri Sendiri, Bukan Salah Ibu Mengandung…
EDITOR MENULIS...
19 MEI 2015
Mungkin terbawa-bawa dengan tabiat merasakan dirinya semua betul
sebagaimana beliau mengetuai kabinet dulu, maka beliau fikir boleh
memalukan Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia dan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib dengan begitu mudah.
Cuba meraih simpati kononnya Pandikar seakan-akan membayangkan
dirinya pembohong semalam, akhirnya permainan beliau terbongkar dan
kantoi dalam keadaan yang mengaibkan dirinya sendiri.
Beliau fikir Pandikar cepat kecut perut dengan kenyataannya yang
memutar belit keadaan? Jangan main-main dengan Speaker Dewan Rakyat…
Beliau mengatakan Pandikar telah meletak jawatan. Bahkan dengan
‘confident’ beiau mengatakan tugas Pandikar akan digantikan dengan
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee. Begitulah
dakwaannya sebelum ini di khalayak ramai dan media.
Bangga sungguh beliau mendedahkan sesuatu yang tidak perlu pun
didedahnya. Pada jangkaan penulis, tindakan itu berkemungkinan besar
untuk menjatuhkan kreadibiliti Najib di mata rakyat dan cuba meraih
sokongan untuk dirinya yang ‘keseorangan’.
Bukan salah ibu mengandung, tiba-tiba Ronald dan Pandikar nafikan
dalam masa yang singkat. Beliau membalas balik, kononnya penafian itu
bagai cuba memalukan dirinya yang sudah dimamah usia. Katanya beliau
malu dengan penafian itu.
Dan tanpa beliau duga, Pandikar mendongak kepala menceritakan hal
sebenar tentang pembohongan yang bekas ketuanya itu lakukan. Paling
pedih, cerita sebenar Pandikar itu ternyata berjaya mencacatkan
kreadibiliti beliau sekaligus lebih mengaibkan dirinya.
Kata Pandikar, memang benar beliau ada menghantar surat perletakan
jawatan. Tapi surat itu tidak dibaca pun oleh Najib. Malah Pandikar
diminta Najib datang bersemuka untuk menyelesaikan masalah yang
dihadapi.
Pada penulis, jelas terbukti perbezaan cara antara Najib dan beliau
dalam menangani masalah yang dihadapi pemimpin di kem sendiri.
Ketika Pandikar jumpa beliau, Pandikar disuruh supaya meletak
jawatan. Negatif sungguh ‘nasihat’ beliau. Bagai mengajar Pandikar untuk
melakukan pemberontakan yang sebenarnya tidak perlu pun dilakukan.
Namun, biarpun menghantar surat perletakan jawatan kepada Najib,
Perdana Menteri begitu sabar dan bersifat terbuka untuk mendengar
masalah yang dihadapi Pandikar. Patut pun semua menteri sayang pada
Najib. Rupanya Najib amat menghormati menteri-menterinya, termasuk
Speaker Dewan Rakyat.
Seterusnya, beliau mengatakan Pandikar meletak jawatan kerana tidak
puas hati pada Najib. Sedangkan Pandikar dengan terang menjelaskan
perletakan jawatan yang dibuat ketika itu adalah kerana faktor
pentadbiran Parlimen. Dua perkara yang jelas berbeza!
Saya melihat, tidak perlu dijelaskan pun tentang kandungan ‘isi
hati’ beliau terhadap Najib. Nampak sangat betapa ‘wangi’nya hati
seorang yang baru pulang menunaikan umrah, kan? ‘Harum’nya boleh dihidu
oleh seluruh rakyat, kecuali ‘macai-macai’nyalah, kan?
Pada pandangan saya, melihat kesungguhan beliau cuba menjatuhkan
Najib, ia bukan lagi menjadi agenda ‘demi rakyat’. Ia seakan-akan demi
seseorang yang belum lagi layak untuk menjadi Perdana Menteri.
Mungkin orang yang dikatakan layak menggantikan Najib sebagai Perdana
Menteri itu hanya berjawatan Adun sahaja buat masa ini sedangkan untuk
menjadi Perdana Menteri individu itu perlu menjadi seorang Ahli
Parlimen.
Jadi, tunggulah individu itu menjadi Ahli Parlimen nanti, maka
mungkin ketika itu barulah beliau akan memberitahu nama individu yang
beliau rasakan layak menjadi Perdana Menteri itu. Soalnya, siapakah
‘beliau’ dan siapakah ‘individu’ itu?
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment