Wednesday, May 20, 2015

DAP Bentuk Kabinet Bayangan Sendiri

20 Mei 2015, Kuala Lumpur : DAP memberi gambaran untuk memerintah negara secara bersendirian sekiranya berjaya menguasai Putrajaya apabila membentuk Kabinet baya­ngan yang terdiri daripada pemimpin parti itu tanpa melibatkan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
http://media.themalaymailonline.com/images/sized/ez/20130929DAP02_2909_620_412_100.JPG
Langkah tersebut juga dilihat sebagai satu penghinaan kepada Pas apabila Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng memaklumkan keputusan itu dibuat kerana DAP tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Guan Eng menegaskan, pembentukan Kabinet bayangan daripada pemimpin pakatan pembangkang yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang baharu, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan gagal berikutan keengganan Abdul Hadi untuk bekerjasama dengan rakan sekutunya.

Malah beliau secara sinis berkata, Abdul Hadi yang sukar dikawal mempunyai ‘kuasa veto’ untuk menolak sebarang keputusan yang telah dipersetujui secara bersama, justeru Kabinet bayangan daripada parti pembangkang tidak akan berkesan.

“Dia (Abdul Hadi) tidak meminta pandangan kami, malahan dia tidak berunding dengan pemimpin Pas sendiri. Jadi, bagaimana kami dapat bekerjasama? Kami juga sudah memutuskan untuk tidak menjalin sebarang hubungan dengan Abdul Hadi, tetapi kami akan terus berurusan dengan pemimpin Pas lain.

“Kabinet bayangan pakatan pembangkang itu sukar dikawal kerana Abdul Hadi ada kuasa veto untuk menolak sebarang keputusan berasaskan persetujuan bersama. Abdul Hadi tidak berunding dengan kami berhubung sebarang hal terutama hudud, dengan itu saya percaya sukar dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

DAP sebelum ini memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi yang didakwa tidak bermaruah dan tidak jujur berikutan tindakan parti itu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Menurut parti itu, pengkhianatan Abdul Hadi bukan saja dalam isu hudud, malah dalam isu pencalonan Wan Azizah sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang menyebabkan krisis besar berlarutan sehingga hampir menjatuhkan kerajaan negeri Selangor.

Ketika ditanya tentang calon Perdana Menteri untuk Kabinet bayangan itu, Guan Eng bagaimana enggan mengulas dan meminta soalan itu dikemukakan kepada Wan Azizah.
Sementara itu, Kabinet baya­ngan DAP yang dibentuk membariskan 34 pembuat dasar yang bertanggungjawab terhadap 18 kementerian.

Antara portfolio yang dicadangkan ialah Pendidikan, Sains dan Teknologi; Dalam Negeri dan Perundangan serta Kewangan dan Ekonomi.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hasan ketika ditemui enggan memberikan ulasan, sebaliknya menyatakan mahu meneliti terlebih dahulu kenyataan Guan Eng sebelum memberi sebarang reaksi.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment