Wednesday, May 20, 2015
Pelarian Rohingya: Usaha Malaysia, Indonesia Amat Munasabah
21 Mei 2015, Kuala Lumpur : Usaha Malaysia dan Indonesia untuk menyediakan
bantuan kemanusiaan kepada ribuan pelarian etnik Rohingya yang masih
berada di perairan antarabangsa sejak beberapa minggu lalu dianggap
sebagai satu tindakan yang amat munasabah.
Pengarah Negara Islamic Relief Malaysia (IRM), Zairulshahfuddin
Zainal Abidin berkata, bantuan itu diyakini mampu meringankan
kesengsaraan hidup kumpulan pelarian itu untuk jangka masa pendek
sebelum jalan penyelesaian yang sesuai ditemui.
Katanya, langkah itu juga akan menunjukkan kepada masyarakat dunia
tentang keprihatinan Malaysia dan Indonesia terhadap pelarian tersebut
dengan mengutamakan nilai kemanusiaan walaupun mereka ditindas di negara
sendiri.
“Kami berpendapat pelarian itu masih berhak untuk mendapatkan layanan
yang berperikemanusiaan dan tidak seharusnya dibiarkan tersadai di
tengah-tengah lautan tanpa bantuan.
“Justeru, apa yang dilakukan oleh kedua-dua negara pada ketika ini
atas dasar kemanusiaan merupakan satu keputusan yang terbaik, bijak
dan sangat berwibawa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, hampir 7,000
pelarian etnik Rohingya dan Bangladesh yang masih tersadai di perairan
antarabangsa akan diberikan bantuan kemanusiaan secepat mungkin
dengan disediakan tempat perlindungan sementara.
Persetujuan tersebut dicapai dalam pertemuan antara Menteri Luar
Malaysia, Indonesia dan Thailand yang diadakan di Wisma Putra, Putrajaya
hari ini.
Mengulas lanjut, Zairulshahfuddin berkata, isu pelarian Rohingya
tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja sebaliknya, ia memerlukan satu
penyelesaian mampan untuk jangka masa panjang.
Jelas beliau, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN perlu mengetengahkan
masalah pelarian itu sebagai antara agenda utama dalam persidangan
pertubuhan berkenaan agar krisis itu dapat ditangani sebelum
mengundang kemudaratan.
“Isu pelarian harus diselesaikan secara persahabatan dalam kalangan
pemimpin politik ASEAN supaya tidak berulang pada masa akan datang,”
katanya.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia India Malaysia (MIYC), Reghu
Devan Lopez yang turut sependapat berkata, isu pelarian perlu
diselesaikan secara holistik demi kebaikan masa depan seluruh negara
anggota ASEAN.
Jelas beliau, ASEAN sebagai badan serantau boleh bertindak membantu
merealisasikan dan seterusnya merangka jalan penyelesaian yang boleh
mengatasi masalah pelarian berkenaan untuk selama-lamanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment