Thursday, May 21, 2015
Berdepan Dugaan, Rintangan, Najib Terus Melangkah Ke Hadapan
21 Mei 2015, Kuala Lumpur : Berdepan dengan pelbagai kritikan dan dugaan
berhubung kepimpinannya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini menegaskan akan terus melangkah ke hadapan.
“Walaupun, mutakhir ini, pelbagai dugaan dan rintangan dihadapkan,
saya dan pihak kerajaan memilih hanya satu jalan, iaitu terus melangkah
ke hadapan dan sekali-kali tidak akan berbalik haluan.
“Ternyata, benarlah kata-kata para alim dan pujangga, hidup ini
sememangnya adalah sebuah perjuangan, laksana lautan yang jarang tenang.
Sekali ombak naik, sekali ombak turun. Pergantian musim hujan dan musim
panas, adakala masa susah dan adakala masa senang,” katanya ketika
membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat.
Menyeru rakan-rakannya yang setia untuk bersabar dan
memperkukuh kepercayaan, Perdana Menteri berkata pasti akan terbentang
jalan keluar dan kemenangan dengan tawakal dan doa.
Kesempatan itu turut diambil Najib menempelak pengkritik yang sering
mencari kesalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam melaksanakan
dasar dan polisi demi kebaikan negara dan rakyat.
“Sekalipun dalam banyak hal, kita telah berbuat sehabis baik, begini-begini, namun, ditohmahnya pula oleh orang, begitu-begitu.
“Dalam hal lain, apabila kerajaan dengan ikhlasnya pulak memutuskan
supaya subsidi pukal diganti dengan subsidi bersasar agar bantuan dapat
diberi terus kepada golongan yang sangat memerlukan melalui BR1M
(Bantuan Rakyat 1Malaysia) , tiba-tiba dituduh dan diperkata pulak,
sekian-sekian,” katanya.
Kepimpinan Najib sejak akhir-akhir ini diserang dengan pelbagai
kritikan antaranya isu pemberian BR1M dan pelaksanaan Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST), termasuk daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir sebelum ini berpendapat kerajaan tidak perlu
meneruskan pemberian BR1M kepada rakyat selain menggesa kerajaan
membatalkan pelaksanaan GST bagi menjamin sokongan rakyat kepada
kerajaan BN.
Menyentuh berkenaan GST, Najib mengakui sistem itu mengambil masa
bagi proses pelaksanaannya untuk menjadi lebih efisien dan memuaskan
semua pihak.
Beliau sekali lagi mengulangi jaminan bahawa rakyat tidak perlu
gundah dan runsing kerana hasil kutipan dan perbelanjaan GST akan
diumumkan kepada rakyat.
“Saya bagi pihak kerajaan yang menepati janji, ingin menegaskan
bahawa, kita akan memastikan hasil GST akan diperuntukkan kembali kepada
manfaat dan keperluan rakyat keseluruhannya,” kata perdana menteri.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment