Saturday, May 16, 2015
Tidak Cari Populariti
16 Mei 2015, Kuala Lumpur : Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan
tidak boleh membuat keputusan yang populis tetapi mendatangkan kerugian
kepada negara untuk jangka panjang.
Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya sebaliknya mesti
melakukan perkara yang betul walaupun keputusan itu mungkin tidak
disenangi sesetengah pihak.
‘‘Yakinlah bahawa niat saya tidak lain untuk kebaikan masa depan
Malaysia. Apabila hasil bertambah nanti, saya akan bertindak secara
telus dan beritahu rakyat tentang hasil ini.
‘‘Hasil tambahan ini akan dibelanjakan untuk rakyat. Apabila kita
cakap dari belia untuk belia, cukai barang dan perkhidmatan (GST) juga
dari rakyat untuk rakyat,’’ katanya ketika berucap dalam majlis
penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2015 di sini hari ini.
Najib menyampaikan hadiah wang tunai bernilai RM50,000 kepada Gerakan
Belia 4B cawangan Merlimau Pasir, Melaka yang dinobatkan sebagai
penerima Anugerah Perdana Belia Negara kategori pertubuhan sempena
sambutan Hari Belia Negara 2015.
Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut melancarkan Dasar Belia
Malaysia yang menterjemahkan hala tuju Program Transformasi Belia
Negara serta menyokong program pembangunan belia yang dijalankan.
Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri
Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Ketua Menteri Melaka,
Datuk Seri Idris Haron; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M.
Saravanan serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamal
Jamaludin.
Najib berkata, terdapat golongan yang tidak suka pelaksanaan GST kerana mereka tidak membayar cukai sebelum ini.
‘‘Ada yang tidak suka GST sebab selama ini dia tidak bayar cukai.
Dengan cara seperti ini (melaksanakan GST), adil untuk semua,’’ katanya.
Sementara itu, Najib berkata, golongan belia perlu mengambil
inisiatif untuk menambah nilai pada diri sendiri termasuk berusaha ke
arah menjadi pekerja berkemahiran tinggi.
‘‘Jangan berpuas hati dengan pencapaian sederhana yang ada tetapi perlu mencabar diri untuk memaksimumkan potensi yang ada.
‘‘Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) nanti, kita akan buat
program lebih besar untuk pendidikan kemahiran dan teknikal,’’ katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan belia supaya tidak menjadi pekerja
semata-mata, tetapi perlu mengorak langkah sebagai usahawan yang
menawarkan pekerjaan kepada orang lain.
“Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (Magic) telah diwujudkan untuk memberikan latihan keusahawanan,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment