Sunday, May 24, 2015
Anggota UMNO Harus Kerja Keras Tangani Persepsi Defisit Kepercayaan- Muhyiddin
23 Mei 2015, Johor Baharu : Anggota UMNO perlu bekerja keras termasuk
kerap turun padang bagi menangani persepsi sebilangan pihak berhubung
defisit kepercayaan yang dihadapi parti itu, sekali gus mengembalikan
keyakinan rakyat
kepada UMNO, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata dengan pendekatan menyelami hati
nurani masyarakat dan mengetahui keperluan mereka, keyakinan rakyat
terhadap parti dan kerajaan dapat diperkukuhkan.
Selain itu, momentum anggota UMNO dalam menyelami hati rakyat tidak
boleh kendur supaya parti yang ditunjangi orang Melayu itu dapat terus
membela nasib rakyat terutamanya generasi muda, kata Muhyiddin, yang
juga Timbalan Perdana
Menteri.
“Kita kena tulus ikhlas supaya dapat membentuk persepsi positif iaitu
parti yang ada kredibiliti dan integriti supaya parti kita diyakini.
“Ada pihak kata, situasi kini amat mencabar, ada yang kata “trust
deficit”…kepercayaan menurun. Saya tidak tahu ia persepsi atau satu
kenyataan tetapi tanggungjawab itu terletak di atas bahu kita terutama
anak muda seperti
Pergerakan Puteri UMNO,” kata beliau, sambil disambut sorakan 1,000 anggota Puteri UMNO, di sini.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan
Gelombang Merah Jambu Fans 2015 di Dataran Bandaraya Johor Baharu, di
sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Md Jais Sarday,
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua
Pergerakan Puteri UMNO Johor Rohaiza Ahmad.
Muhyiddin berkata anggota UMNO khususnya Pergerakan Puteri, bukan
sahaja perlu berdamping dengan masyarakat malah perlu memahami tuntutan
jiwa dan raga yang diperlukan setiap golongan rakyat termasuk wanita.
Beliau berkata rakyat ketika ini mahu melihat UMNO sebagai parti yang
sentiasa membela dan bersikap adil dalam apa jua dasar yang dilakukan
serta tidak lari daripada tanggungjawab sama ada pada ketika susah dan
senang.
“Masyarakat masih memberi penilaian terhadap segala apa yang kita (kerajaan) lakukan.
“Rakyat Malaysia, tidak mengira apa keturunan, masih mengharapkan
satu usaha yang berterusan dan sokongan diberikan kepada mereka untuk
menentukan supaya hidup mereka bertambah lebih baik, sejahtera dan lebih
bahagia,” kata beliau.
Menurut Muhyiddin, harapan dan masa depan negara juga terletak atas
bahu anggota Pergerakan Puteri UMNO memandangkan mereka merupakan
kelompok yang tahu corak, budaya dan apa yang dicita-citakan rakyat
khususnya generasi muda.
“Sebagai langkah awal, kita balik kawasan, turun padang jumpa
masyarakat. Kalau ini dapat dilakukan, maka, ada keyakinan rakyat
terhadap UMNO untuk pilihan raya akan datang,” katanya.
Muhyiddin menegaskan pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam
meningkatkan taraf hidup golongan wanita termasuk menubuhkan
kementerian, namun, inisiatif oleh Pergerakan Puteri juga memainkan
peranan penting bagi membolehkan
golongan wanita mencapai taraf yang sama dengan golongan lelaki.
Sambil mengucapkan tahniah atas penganjuran program himpunan
berkenaan, Muhyiddin berkata Pergerakan Puteri UMNO dalam masa yang sama
juga perlu merapatkan saf dan mengelakkan perbalahan sesama mereka.
Beliau menegaskan ‘gelombang’ merah jambu juga perlu sentiasa
disemarakkan sampai bila-bila supaya tidak pudar dalam membela rakyat
dan negara.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment