Monday, January 04, 2016

Inilah Kita Mahukan..... PAS-UMNO Tak Rebut Kerusi Jika Kerjasama Untuk Perpaduan Ummah

SHAH ALAM : Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yakin isu perebutan kerusi dalam pilihan raya tidak akan menjadi pertelagahan sekiranya Umno-PAS bekerjasama demi kepentingan ummah.

Zambry berkata, walaupun kedua-dua parti mempunyai matlamat yang sama untuk memenangi pilihan raya atau kerusi yang dipertandingkan, namun menegaskan maslahah ummah perlu diutamakan.

"Saya ingin melihat dalam perspektif lain, iaitu melihat usaha ini membawa ke arah konsep bersama iaitu untuk maslahah ummah.

"Kalau kedua-dua memberi fokus, maka soal kerusi dan perkara lain dengan sendirinya akan berada di belakang kerana yang paling penting ialah menyelesaikan maslahah ummah," katanya yang dipetik Berita Harian.

Beliau juga menegaskan maslahah ummah ini bukan hanya berkisar kepada satu kelompok ataupun agama Islam atau kelompok Melayu Islam tetapi perlu dilihat dalam konteks keseluruhan tanah air dengan memberikan satu dimensi yang lebih luas dan terangkum.

"Kalau dulu kita melihat bagaimana sejumlah besar majoriti penduduk ada yang terpisah, tetapi kali ini lebih terangkum termasuk yang ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung," jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, Zambry turut menegaskan dimensi kerjasama tidak boleh hanya dilihat kepada persiapan menghadapi pilihan raya sahaja.

"Saya lebih suka persefahaman berjalan sekarang hingga pilihan raya dan selepas pilihan raya dan selepas pilihan raya kerana ia tidak bermusim tertentu sahaja.

"Persefahaman ini mestilah dibina untuk satu jangka masa panjang kerana jika dibuat untuk satu-satu ketika sahaja, ia tidak akan menjadi persefahaman yang baik untuk masa depan.

"Sekarang pun kita berdepan pelbagai isu yang kita hadapi bersama. Isu keselamatan negara, ancaman ekstremisme, ancaman terhadap kefahaman yang pelik dan ancaman perpecahan. Maka dimensi ini juga perlu dilihat, tidak wajar kita melihat persefahaman hanya untuk menuju pilihan raya," katanya mengulas kerjasama tersebut yang akan memberi kelebihan kepada Parti Amanah Negara (PAN). 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment