Monday, January 04, 2016
Najib, Ab Rauf Berjaya Batalkan Saman Anina
KUALA LUMPUR : Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan
Setiausaha Kerja parti, Datuk Ab Rauf Yusoh berjaya membatalkan saman
yang difailkan bekas anggota UMNO Langkawi Anina Saadudin terhadap
mereka berhubung isu derma RM2.6 bilion.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab
membenarkan permohonan Najib dan Ab Rauf untuk membatalkan saman itu
selepas memutuskan Anina tidak mempunyai kausa untuk memulakan tindakan
undang-undang berkenaan kerana dia bukan pegawai awam atau pemegang
jawatan dalam UMNO.
Beliau memerintahkan Anina selaku plaintif membayar kos RM5,000 kepada setiap seorang defendan (Najib dan Ab Rauf).
Mohd Zaki berkata beliau bersetuju dengan hujahan peguam Datuk Mohd
Hafarizam Harun mewakili Najib dan Ab Rauf bahawa mengikut Seksyen 9(c)
Akta Pertubuhan 1966, sebarang prosiding terhadap sesebuah pertubuhan
atau pemegang jawatannya hanya boleh dibawa oleh pegawai awam atau
pemegang jawatan dalam pertubuhan itu.
“Fakta yang jelas ialah plaintif bukanlah pegawai awam UMNO dan
pemegang jawatan dalam UMNO, dalam keadaan sedemikian plaintif tidak
mempunyai kapasiti untuk membawa tindakan ini,” katanya.
Mohd Zaki berkata untuk mengekalkan dan meneruskan samannya itu,
Anina mestilah seorang pegawai awam dan pemegang jawatan dalam UMNO,
tetapi dalam kes ini Anina bukan lagi anggota UMNO selepas
keanggotaannya dalam UMNO telah gugur apabila memfailkan saman mengikut
Perkara 20.7 Perlembagaan parti.
Berhubung persoalan sama ada bolehkah seseorang yang bukan anggota
pertubuhan membawa tindakan ke mahkamah bagi mewakili orang ramai untuk
menguatkuasakan tanggungjawab yang gagal dilakukan pertubuhan itu, Mohd
Zaki berkata sesuatu yang hendak dikuatkuasakan itu mestilah mempunyai
kepentingan awam dan bukan sekadar isu dalaman parti.
“Berdasarkan penyata tuntutan dan afidavit plaintif (Anina), saya
dapati perkara yang diminta oleh plaintif untuk dikuatkuasakan atau
dilakukan oleh UMNO adalah urusan dalaman pertubuhan itu.
“Perkara yang hendak dikuatkuasakan itu tidak menjadi kepentingan
awam,walaupun tidak dinafikan setiap anggota UMNO mempunyai kepentingan
tetapi bukan semestinya menjadi kepentingan orang awam keseluruhannya,”
katanya.
Mohd Zaki berkata berdasarkan alasan itu, beliau mendapati writ dan
penyata tuntutan Anina adalah jelas tidak dapat dipertahankan.
“Selepas pertimbangkan permohonan ini, afidavit dan hujahan kedua-dua
pihak,saya dapati tindakan plaintif ini tidak mempunyai kausa, oleh itu
saya membenarkan permohonan kedua-dua defendan dengan kos,” katanya.
Terdahulu, Mohd Hafarizam memohon kos RM10,000 bagi setiap seorang
defendanatas alasan kes itu telah menarik perhatian orang ramai
berhubung isu dalaman parti itu, bagaimanapun peguam Mohamed Haniff
Khatri Abdulla yang mewakili Anina memohon supaya tiada perintah
berhubung kos kerana kes itu hanya diperingkat permohonan dan tiada
pernyataan pembelaan difailkan setakat ini.
Pada 28 Ogos, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Ab Rauf
antara lainmenuntut sebahagian daripada derma RM2.6 bilion (US$650 juta)
yang dikatakan dimasukkan oleh presiden parti ke dalam akaun
peribadinya di Singapura.
Najib dan Ab Rauf kemudian menfailkan permohonan untuk membatalkan
saman atas alasan ia remeh, menyusahkan dan Anina tidak mempunyai hak
dari segi undang-undang untuk memfailkan saman itu kerana beliau bukan
seorang pegawai awam UMNO.
Di luar mahkamah, Mohamed Haniff dan Anina berkata mereka akan
menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu, manakala
Mohd Hafarizam pula berkata: “Ia adalah hadiah Tahun Baharu yang baik
untuk UMNO.”.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment