Monday, January 04, 2016

Penganalisis Dakwa PAN Terpaksa Guna Pemimpin PAS Untuk Tarik Sokongan

SHAH ALAM : Parti Amanah Negara (PAN) ketandusan idea apabila terpaksa menggunakan pemimpin PAS untuk meraih sokongan orang ramai bagi menyertai parti itu.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kekerapan PAN menjemput dan memetik nama-nama tertentu dalam kalangan pemimpin PAS dilihat mempunyai niat serampang dua mata.

Martadha percaya, strategi serampang dua mata itu terpaksa digunakan memandangkan PAN gagal meraih sokongan diperingkat akar umbi PAS walaupun sudah beberapa bulan ditubuhkan.

"Saya kira itu tujuan utama kenapa mereka membuat kenyataan Nik Omar menyertai Pakatan yakni PAN dan dalam masa yang sama Husam seringkali dijemput untuk bersama-sama dalam program mereka.

"Jadi ini adalah lebih kepada satu strategi untuk menarik lebih ramai mereka-mereka untuk menyertai PAN. Maknanya kita lihat kalau dari sudut sokongan, parti ini masih baru dan ia tidak mempunyai sokongan di peringkat akar umbi," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi.

Beliau mengulas penafian Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kepada bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menafikan laporan yang beliau kini menyertai PAN.

Semalam media melaporkan Nik Omar diisytiharkan menyertai parti itu pada satu majlis makan malam PAN Kelantan yang diadakan di Dewan Sivik, Petaling Jaya.

Ahmad Martadha dalam pada itu berkata, strategi yang digunakan itu tidak akan terhenti disitu saja bahkan akan berlarutan sehingga kempen pilihan raya akan datang.

"Dan sebab itulah mereka perlu mencari strategi-strategi yang boleh menyebabkan masyarakat tertarik dengan parti tersebut dan salah satu agenda-agenda yang digunakan ialah meletak nama-nama yang popular.

"Kita tahu Husam merupakan pemimpin-pemimpin penting dalam PAS dan apatah lagi Nik Omar merupakan anak kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri, jadi pengaruh nama-nama besar seperti ini memang besar terutamanya dalam konteks Kelantan dan Terengganu," katanya.

"Jadi ini sebagai satu daya tarikan bagi saya dengan meletakkan nama-nama, jadi kita tahu apabila Nik Omar menafikan mungkin strategi itu tidak menjadi.

"Namun bagi saya mereka salah satu tujuan utama untuk menarik orang ramai terutama masyarakat yang mungkin belum melihat Amanah ini merupakan satu parti yang mempunyai kredebiliti, satu parti yang masih mencari kekuatannya sendiri. Jadi sebab itu mereka akan menggunakan apa sahaja cara untuk menarik minat masyarakat, atau mungkin membuat kenyataan-kenyataan seperti Nik Omar memasuki PAN itu mungkin satu kenyataan yang tidak mempunyai asas sehingga ianya dinafikan sendiri," katanya lagi.

Beliau bagaimanapun menegaskan PAS tidak boleh memperlekehkan strategi PAN itu kerana badai politik tanah air sentiasa berubah dan tidak boleh dijangka.

"Saya melihat mereka akan terus mengguna usaha-usaha ini kerana itulah satu cara bagi mereka mendapatkan sokongan masyarakat. Sama ada berjaya atau tidak, itu mungkin sukar untuk kita hendak menilai sehinggalah kepada pilihan raya nanti kerana mereka akan terus menerus menggunakan strategi ini," katanya.

Beliau dalam pada itu, menasihatkan kesemua mereka yang masih berada di atas pagar supaya bijak memilih parti pada pilihan raya akan datang.

"Bagi saya, bagi mereka-mereka yang masih berada di atas pagar, membuat pilihan sama ada hendak terus menyertai PAS, atau pun menyertai Amanah, atau apa sahaja parti, fikirlah dulu dam membuat analisa sebaik mungkin.

"Apakah sesebuah parti yang ingin mereka sertai itu mempunyai satu idealisme yang jitu atau pun mempunyai hala tuju yang jelas terutama dalam landskap politik negara, atau pun parti-parti itu menggunakan polemik-polemik tertentu untuk menarik sokongan masyarakat," katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment