Tuesday, September 01, 2015

Ini Amaran Zahid Kepada Pemimpin BN...

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi amaran kepada pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak menjadi pemimpin bermusim jika mahu BN terus kekal sebagai pemerintah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Zahid berkata, bagi menghadapi PRU yang akan tiba dalam 2 tahun ini, beliau menggesa semua pemimpin BN menyelesaikan masalah dalaman bagi memperkasa BN di hati rakyat.

Beliau juga menasihati wakil rakyat dari komponen BN yang telah dilantik oleh rakyat supaya tidak menjadi pemimpin bermusim yang hanya akan pulang ke kawasan masing-masing ketika pilihan raya.

Katanya, tambatlah hati rakyat dengan selalu menjenguk dan bertanya khabar mereka, kerana merekalah BN masih kekal relevan sehingga hari ini.

"Pilihan raya tidak jauh dari sekarang, tidak lebih dua tahun lima bulan, pejam celik kita akan hadapi pilihan raya.

"Jadi saya minta Menteri Besar dan Pengerusi BN di negeri-negeri dan pengerusi BN di kawasan Parlimen termasuk Sungai Siput, jangan hanya ballik kawasan ketika pilihan raya, baliklah jenguk anak buah yang akan menjadi jentera dalam menetukan kemenangan BN, jangan jadi pemimpin bermusim," tegas Zahid ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sungai Siput.

Beliau yang menyentuh mengenai calon BN pada PRU akan datang berkata, jika dahulu parti akan memilih calon boleh menang untuk diletak di sesuatu kawasan, kini parti akan memilih calon disenangi yang boleh berkhidmat kepada masyarakat setempat.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment