Tuesday, September 01, 2015
Mengapa GHB Tidak Mahu Berhenti Menjadi Ahli PAS?
Hina sangatkah menjadi seorang wakil rakyat yang tidak berparti? Apakah
gelaran Ahli Parlimen Bebas melambangkan seseorang itu tiada pendirian
politik dan tidak layak menjadi pemimpin rakyat?
Di samping itu, apa istimewanya menjadi wakil rakyat bagi orang yang
berparti? Adakah dengan menjadi ahli mana-mana parti politik bererti
seseorang itu lebih mulia?
Sebaliknya, di manakah keutamaan dan kesetiaan seseorang yang terpilih
menjadi ahli Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri itu? Pada arahan
dan prosedur partinya atau mutlak pada rakyat?
Apapun, kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad bahawa
martabatnya akan jika bergelar ahli parlimen bebas seperti Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim atau bekas ahli parlimen, Ibrahim Ali, adalah satu
keangkuhan.
Beliau membuat kenyataan itu bagi menjelaskan mengapa beliau dan
kawan-kawannya dari PAS tidak mahu meletak jawatan sebagai ahli parlimen
atau Adun walaupun kini berusaha keras menubuhkan sebuah parti politik
baru.
PAS dengan lantang menyatakan mana-mana wakil rakyatnya yang mahu
menubuhkan parti baru menggantikan PAS, seharusnya mengosongkan kerusi
mereka kerana ia bertentangan dengan bai’ah yang pernah mereka buat.
Namun Khalid sebagai koordinator Gerakan Harapan Baru (GHB) mengambil
kesempatan untuk menyindir wakil rakyat yang tidak berparti pula.
"Kami tak akan keluar Pas, kami tak nak jadi wakil rakyat bebas,"
demikian tegas Khalid mewakili seluruh wakil rakyat Pas yang merancang
menyertai sebuah parti Harapan Baru.
Antara wakil rakyat yang termasuk dalam kategori melanggar bai’ah PAS
ini termasuklah Dr Hatta Ramli, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Mujahid
Yusuf, Dr Siti Mariah Mahmud, Datuk Raja Kamarul Bahrin, Datuk Nizar
Jamaluddin dan Husam Musa.
“Kami tak akan keluar. Kami hanya tunggu Harapan Baru terbentuk sebagai
sebuah parti, pada masa itu keanggotaan kami sebagai ahli Pas akan gugur
dengan sendirinya.
“Kalau kami keluar Pas, kami akan jadi wakil rakyat bebas. Itu kami tak mahu,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid turut menyindir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak
yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan
bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang berkhidmat
sebagai wakil rakyat bebas.
“Jika kami jadi wakil rakyat bebas, kami kena duduk dengan Khalid
Ibrahim di Parlimen. Kami tak nak duduk dengan dia, nanti jatuhlah taraf
kami macam Ibrahim Ali.
“Sebab itu kita nak ada parti, bila kita duduk dalam Parlimen, kita akan dilihat sebagai satu parti,” katanya.
Soalnya, akhlak dan lojik apakah yang digunakan Khalid ini pada satu
sisi sudah mahu mufarakah dari PAS tetapi pada segi lain mahu terus
“meminjam nama” PAS untuk “memuliakan” kedudukan mereka sebagai seorang
Yang Berhormat?
Sudah tentu pendirian dan kenyataan ini dibuat atas dasar politik.
Bagaimanapun yang menyedihkan ialah parti baru yang hendak ditubuhkan
mereka ialah yang bertunjangkan Islam. Beginikah sikap pemimpin Islam?
Sekalipun mereka sudah hilang hormat kepada ulama-ulama yang memimpin
PAS tidak perlulah mereka “menunjuk pandai” dan menyakat serta mencabar
pemimpin PAS supaya memecat keahlian mereka dari PAS.
Atas perkiraan politik, mereka menjangka akan memungut modal besar untuk
dijaja pada rakyat bahawa mereka menubuhkan GHB dan parti politik
baharu kerana “dipecat” dari PAS.
Sekaligus untuk catatan sejarah, tindakan mereka itu akan menjadi
sesuatu yang “halal” dan diharapkan tidak akan timbul persoalan
sebenarnya mereka mengkhianati perjuangan PAS hanya kerana tidak dipilih
menjadi pemimpin!
Jika demikian silat politik GHB yang cuba memutarbelit sejarah, wajarkah
ia mendakwa mahu menubuhkan sebuah parti politik Islam yang berakhlak
dan layak menggantikan PAS?
Menurut Khalid lagi perisytiharan penubuhan parti politik baru itu akan
dibuat pada 31 Ogos ini dan pelancarannya akan dilakukan sempena Hari
Malaysia pada 16 September 2015.
Mungkinkah GHB menjangka bahawa ‘peristiwa politik’ baru yang diatur
pada tarikh berkenaan tidak akan berlaku kerana pelbagai masalah
teknikal. Umpamanya, ia mungkin tidak diluluskan oleh Pendaftar
Pertubuhan (ROS).
Atau, mungkin kerana rundingan mengambil alih parti berdaftar Parti
Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) masih belum selesai kerana parti itu
juga menghadapi masalah pentadbiran dan teknikal yang rumit.
KITA sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia
(AKIM) yang ditubuhkan sebagai parti serpihan PAS pada 1995 berikutan
percanggahan pendapat sesama ahli parti itu.
Ramai juga Ada ahli parti serpihan Umno, Semangat 46 yang menyertai AKIM
berikutan pembubarannya pada tahun 1996.[5] AKIM pernah bertanding
dalam pilihan raya umum 1999 untuk kerusi-kerusi parlimen Pasir Puteh
dan Kota Bharu, tetapi tidak berjaya.
Pada 15 Disember 2010, Datuk Zaid Ibrahim, seorang bekas pemimpin parti
dan PKR dilantik sebagai Presiden baru AKIM dan meminda
perlembagaannya dan menukar nama rasminya menjadi Parti Kesejahteraan
Insan Tanah Air atau KITA.
Adakah kerana khuatir diulet masalah teknikal dan rundingan mengambil
alih KITA belum selesai maka penghijrah politik berkenaan mahu terus
berteduh di bawah panji-panji PAS?
Atau, adakah muslihat sebenarnya ialah mereka bimbang jika PAS mampu
membuktikan bahawa bai’ah mereka semasa menjadi calon PAS dahulu boleh
diterima mahkamah sebagai perakuan bersumpah atau Statutory Declaration?
Jika demikian sudah pasti sebaik sahaja melangkah keluar dari laman
politik PAS, undang-undang akan menetapkan kedudukan mereka sebagai
wakil rakyat dikira batal!
GHB tentu insaf bahawa bukan mudah mempertahankan kerusi yang dimenangi
atas tiket PAS pada PRU 2013 dahulu kerana pengundi tentu faham bahawa
GHB adalah pengkhianat kerana akan bertanding semula menentang calon
PAS!!
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment