Monday, September 21, 2015
PAS Ulang Pendirian Tolak DAP, Amanah... Syabas PAS Buat Keputusannya
KOTA BHARU : PAS sekali lagi mengulangi pendirian parti itu tidak akan
menjalin kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang kini dalam
proses didaftarkan dan DAP dalam Pakatan Rakyat 2.0.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pendirian itu
diputuskan berikutan pengkhianatan yang dilakukan parti berkenaan
sebelum ini.
"Kami tidak dapat bersama Pakatan Rakyat 2.0 kerana adanya DAP dan
Amanah yang pada anggapan kami telah mengkhianati dan lari daripada
kami," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada
mangsa kebakaran di Pondok Madrasah al-Fununiah al-Tunjuniah di sini,
Isnin.
Dalam kejadian kebakaran Ahad malam itu, tiga buah rumah papan dan dua buah motosikal serta dua buah kereta musnah.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata walaupun menyedari perlu
kerjasama erat dalam kalangan pembangkang untuk menumbangkan Barisan
Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, namun buat masa
sekarang PAS tetap dengan pendirian itu.
"Walaupun tidak dibincang secara rasmi, itulah pandangan yang dilahirkan
sebelum ini melalui rumusan yang dibuat oleh Presiden PAS (Datuk Seri
Abdul Hadi Awang). Dalam suasana dan perkembangan sekarang, perbincangan
kerjasama rasmi itu memang kami tidak dapat terima," katanya.
Mohd Amar berkata PAS juga bersedia untuk bergerak bersendirian dalam pilihan raya umum akan datang jika keadaan memaksa.
"PAS ada pengalaman bersendirian ... soal kalah menang itu bergantung kepada kehendak Allah," katanya.
Beliau berkata PAS juga akan tetap memperjuangkan kerusinya walaupun
berkemungkinan berdepan dengan pertarungan tiga atau empat penjuru jika
Amanah turut bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, katanya, wakil rakyat PAS yang mengkhianati parti dan
melanggar bai'ah disaran meletakkan jawatan bagi menyelamatkan diri
daripada hukuman Allah.
"Bai'ah menggunakan nama Allah dan bukan perkara main-main... sebab itu
kami minta supaya mereka menyelamatkan diri mereka dengan letak jawatan.
"Kalau mereka berdegil kami tidak boleh berbuat apa-apa sebab kami tiada
kuasa, tapi jika berlaku apa-apa nanti kena tanggung sendirilah,"
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment