Tuesday, September 01, 2015
Penganjur Bersih 4 Akan Terima Bil Kos Pembersihan Dalam Minggu Ini
SERDANG : Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan akan menghantar bil kos pembersihan bernilai RM65,000
kepada penganjur perhimpunan Bersih 4 dalam waktu terdekat, kata
Menterinya Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata jumlah berkenaan adalah kos pembersihan bagi
perhimpunan yang berlangsung di bandaraya Kuala Lumpur sahaja dan tidak
termasuk kos kerosakan yang dilakukan oleh peserta perhimpunan.
“Itu (kos kerosakan) saya serahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk memberi bil (kepada penganjur Bersih).
“Selepas itu (para peserta) kencing di merata tempat seperti di pokok
bunga, belakang bangunan, bawah tangga dan dalam parit. Semua akan kita
bilkan dan akan buat dalam minggu ini,” katanya kepada pemberita
selepas majlis pelancaran Pelaksanaan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca
di sini hari ini.
Mengenai kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada
perhimpunan Bersih itu, Abdul Rahman berkata : “Kehadiran Tun M sangat
mengecewakan.”
“Saya lihat (Tun M) seorang yang sangat marah. Seorang yang marah
tidak dapat berfikir dengan waras. Mungkin Tun M boleh berjumpa dengan
pihak ketiga,” katanya.
Perhimpunan Bersih 4 pada Sabtu dan Ahad diisytiharkan polis sebagai
haram anjuran kumpulan yang mendakwa perhimpunan itu antara lain
bertujuan memperjuangkan pilihan raya yang adil serta kerajaan yang
bersih.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment