Tuesday, September 01, 2015
Mahasiswa Wajar Tidak Bincang Isu Sensitif Secara Terbuka – Raja Muda Perlis
PAUH PUTRA : Perkembangan teknologi yang memudahkan
segala isu dan perkara dibincangkan secara terbuka bukanlah ‘lesen’ atau
alasan untuk golongan mahasiswa khususnya, melanggar kebebasan
demokrasi.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah hak
dan kebebasan bersuara juga bukan alasan yang membolehkan sesuatu kaum
mempersendakan amalan agama kaum lain dalam masyarakat majmuk seperti
Malaysia.
“Mutakhir ini, negara diduga dengan pelbagai cabaran berkaitan
ekonomi, politik, sosio budaya, jenayah dan perkembangan teknologi
menyebabkan isu ini ‘meledak’ dibahaskan secara terbuka,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada majlis taklimat waris sempena
pendaftaran mahasiswa baharu sidang akademik 2015/2016 Universiti
Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Kecemerlangan UniMAP di sini hari ini.
Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku
Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro-Canselor
UniMAP.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Naib Canselor UniMAP
Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin dan pegawai-pegawai kanan universiti itu.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP turut menyeru kepada
mahasiswa, ibu bapa dan penjaga agar bertanggungjawab apabila memuat
naik sebarang status, gambar atau berkongsi artikel yang sensitif dan
diragui kesahihannya.
“Jangan sekali-kali melakukan provokasi kerana tindakan sebegini
bakal mengundang pergaduhan dan kebencian kaum selain melanggar
undang-undang negara,” titah baginda.
Terdahulu, Kamarudin dalam ucapannya berkata pengambilan baharu itu
membabitkan 3,129 pelajar iaitu 1,379 lelaki dan 1,750 perempuan
manakala pelajar asing pula seramai 170 orang dari 20 negara antaranya
Myanmar, Yemen, Thailand, Somalia, Uzbekistan dan Indonesia.
Beliau berkata pelajar-pelajar baharu itu bakal mengikuti 23 program pengajian yang ditawarkan oleh 11 pusat pengajian UniMAP.
Katanya kebolehpasaran graduan UniMAP mencatatkan 86 peratus tahun
lepas apabila mereka mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas
graduasi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment