Monday, September 21, 2015
PKR Bertegas Mahukan PAS Agar “Pisang Berbuah 3 Kali” ?
Langkah Kajang
menterjemahkan nafsu PKR, apabila PKR “mencuri” 2 ahli dewan undangan
negeri Selangor dari PAS, untuk memastikan “we have the numbers” untuk
menjadi Menteri Besar, sekaligus meninggalkan PAS dalam keadaan
terkapai-kapai kelemasan.
PAS tiba-tiba hilang kekuatan dalam
mencaturkan hala tuju dalam lanskap politik Selangor. Tiada daya dan
upaya, hanya sindiran dan senyum sinis dari sekutu mereka melihat PAS
tercungap-cungap mentadbir parti sendiri akibat “campurtangan” dari
“rakan-rakan tahaluf siyasi” mereka.
Keadaan yang sama kini berulang, apabila
PKR sekali lagi, berlapang dada serta bersukaria menambah 1 lagi kerusi
Parlimen yang “dicuri” dari PAS. Pisang tidak berbuah dua kali, tetapi
dalam tahaluf siyasi, tidak sangka kita dapat melihat perkara tersebut
berlaku.
Oleh yang demikian, kita tidak
terkejut apabila Wan Azizah tetap berkeras mahu PAS sertai Pakatan
Rakyat 2.0 sekalipun ada yang cuba menidakkan kekuatan PAS setelah
sebahagian wakil rakyat mereka menyertai Parti Pekerja-Pekerja Malaysia
(Amanah) dan PKR.
Apa yang tersirat ialah mungkin Wan
Azizah sendiri masih tidak yakin kepada Amanah untuk menyumbangkan
banyak kerusi, atau lebih memilukan, jika Amanah langsung gagal untuk
menyumbang kerusi nanti. Ia tidak mustahil, jika mengambil jumlah orang
Melayu yang turun serta BERSIH 4.0 tempoh hari.
Oleh yang demikian, tidak hairan jika Wan
Azizah sudah dimaklumkan bahawa PAS adalah sebaik-baik tempat untuk
meneruskan cita-cita politik PKR. Malah, sudah terbukti berkali-kali,
PAS merupakan parti yang paling mudah ditangani, dan dimanipulasi.
Perkembangan terbaru menyaksikan PAS
seolah-olah sudah bulat tekad, untuk tidak bersama Pakatan 2.0,
sebaliknya memilih untuk berdiri dengan sendirinya sekalipun masih
berada di blok pembangkang di parlimen.
Jika ia benar-benar berlaku, maka kita
akan melihat, sejauh mana kekuatan PAS untuk menang kerusi-kerusi yang
mereka tandingi, terutama di kawasan-kawasan yang mana Amanah turut juga
bertanding.
Sehingga ke hari ini, kita sendiri
belum merasa yakin bahawa PAS tidak akan menyertai Pakatan Rakyat 2.0.
Selaku parti yang terkenal dengan strategi politik ampuh seperti
“u-turn”, apa yang mustahil boleh juga berlaku.
PKR sedang menghitung hari, untuk
mendapat laba politik berganda dengan adanya PAS bersama gabungan itu,
sekaligus mengekalkan kekuasaan politik untuk penggal hadapan dengan
hanya jentera yang paling minima di kalangan parti gabungan Pakatan
Rakyat 2.0.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment