Tuesday, September 01, 2015
Tolonglah ‘Jangan’ Hentam Che Det, Beliau ‘Tak Mudah Lupa’…
EDITOR MENULIS...
21 OGOS 2015
Sugul sungguh rasanya bila Tun M yang kita sayangi dikritik hebat,
dikecam dan disindir bertalu-talu oleh pemimpin, ahli dan penyokong
institusi UMNO sejak beliau menampakkan kelibat dirinya dalam himpunan
demonstrasi jalanan Bersih 4 baru-baru ini.
Saya sendiri amat berdukacita dengan kutukan-kutukan itu. Apakah mereka
tidak tahu bahawa Tun M itu telah mencapai tahap ‘wali’ dan ‘nabi’?
Tahukah kalian bahawa beliau itu sama taraf ‘maksum’? Tahukah kalian
bahawa segala yang terbit dari mulutnya itu adalah ‘fatwa’ yang ‘wajib’
diikut dan ‘berdosa’ jika tidak ditaati?
Ketahuilah bahawa Tun M itulah ‘keramat hidup’ yang perlu diikut
segala perintahnya. Walau berpandukan pada ‘kitab WSJ’ yang pernah
beliau kutuk dulu, segala ‘fatwa’ darinya perlulah disokong dan dituruti
tanpa sebarang soal jawab. Segalanya ‘benar’, tiada yang ‘tidak benar’
melainkan yang ‘benar-benar’ belaka.
Saya dari ‘sejak dalam perut’ sememangnya ‘taat’ pada perintah dan
kehendak Tun M. Jika tidak, saya akan dituduh sebagai ‘derhaka’,
‘pengkhianat’ agama, bangsa, negara dan UMNO…
Menurut seorang rakan saya pula, Tun M ketika berjawatan Perdana
Menteri, ‘tidak ada’ seorang pun yang pernah mendesak beliau meletak
jawatan. Malah ‘tidak ada’ seorang pun yang berani mencabar beliau
sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri meskipun Tengku Razaliegh
Hamzah mahupun Tun Salleh Abbas.
Tun M katanya ‘tidak pernah’ pun memecat, menjatuhkan atau
menggugurkan sesiapa dalam barisan kabinet kerajaan yang beliau ketuai
selama 22 tahun dulu. Malah beliau ‘tidak pernah’ pun mencantas,
mengatur, mencatur atau membenam sesiapa ketika beliau menjadi Presiden
UMNO atau mendaki kerusi tertinggi parti itu.
Lebih ‘menakjubkan’ saya, Tun M dikatakan ‘tidak pernah’ terbabit
dalam sebarang skandal politik, skandal kewangan mahupu apa jua jenis
skandal dalam pemerintahannya yang ‘maha hebat’ yang lebih hebat dari
Firaun. Malah dia “tidak’ memiliki sebarang kroni, ‘tidak kenal’ Ananda
Krishnan, Robert Kuok, Francis Yeoh, Vincent Tan, dan ramai lagi
taikun-taikun Cina yang ‘miskin-miskin’ belaka itu.
Untuk pengetahuan rakyat, Tun M juga dikatakan ‘tidak pernah’
menerima sebarang dana politik, sumbangan mahupun derma perjuangan
ketika beliau menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri
dulu. Khabarnya, semua kos politik beliau dulu adalah dari sumber
poketnya sendiri atau duit gaji bulanannya sebagai Ahli Parlimen,
Perdana Menteri dan ‘elaun ehsan’ selaku Presiden UMNO.
Sesungguhnya menurut sesetengah pendapat, di dalam ramai-ramai ahli
politik sejak mula terciptanya istilah politik oleh Aristotle
dulu, tiada ahli politik yang ‘sesuci’ Tun M. “Suci’nya beliau bagaikan
embun pagi yang belum tercemar oleh apa-apa unsur yang mengotorkan. Maka
tidak hairanlah beliau menyertai Bersih 4…
Saya amat ‘kecewa’ bila ramai yang mengecam Tun M. Sampainya hati
mereka menuduh Tun M dengan kenyataan yang ‘mengguris hati’ saya.
Tergamak mereka menuduh insan ‘maksum’ itu dengan kenyataan yang ‘tidak
patut’?
Tahukah mereka siapa Tun M? Tahukah mereka bahawa Tun M itu seorang
yang ‘amat berkuasa’?
Selama ini, beliaulah ‘pencatur’. Dulu ketika Pak
Lah naik jadi Perdana Menteri, beliaulah yang ‘mencatur’. Khabarnya,
‘geng tingkat 4’ itu juga beliau yang ‘catur’kan, dan beliaulah juga
yang ‘mencatur’ Pak Lah turun. Tidak pasti sama ada dakwaan ini benar
atau tidak, tapi benarkah kononnya beliau yang mencatur Obama jadi
Presiden US?
Saya ‘sedih’ bila Tun M diperkatakan sebegini rupa. Tolonglah jaga
nama baik anaknya di utara Semenanjung. Janganlah dikutuk bapanya itu.
Bapanya banyak berjasa pada negara. Kalau ‘tidak’ kerana bapanya, tidak
merdekalah Persekutuan Tanah Melayu. Jika ‘tidak’kerana Tun M, tidak
lahirlah Petronas…
Akhir kalam, saya ‘merayu’ pada semua, tolonglah ‘sokong’ Tun M.
Kerana jasa beliau selama 22 tahun dulu, kita perlu taat dan sokong
beliau walau pun beliau tersalah langkah.
Beliau dipihak yang ‘benar’,
tiada yang ‘benar’ melainkan yang ‘benar-benar’ belaka. ‘Majulah Bersih 4
untuk Tun M’…
Harapan saya, agar para pembaca sekelian, memahami benar-benar isikandungan serta 'maksud' penulisan saya kali ini...
P/s: Untuk membaca penulisan Tun M yang ‘benar’ dan ‘tak mudah lupa’
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment