Monday, January 25, 2016

Dua Banduan Mendapat Peluang Melanjutkan Pengajian Ke Peringkat PhD

Dua banduan yang sedang menjalani hukuman penjara di negara ini, kini sedang mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar, berkata pihaknya melakukan kolaborasi bersama beberapa universiti tempatan bagi membolehkan banduan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Sebelum ini, banduan diberi peluang melanjutkan pengajian dalam bidang sarjana, sarjana muda dan diploma.

"Mulai tahun ini, ada dua banduan akan melanjutkan pengajian ke peringkat PhD," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Fauzi Che Mat ke Penjara Pengkalan Chepa.

Zulkifli berkata, banduan yang diberi peluang melanjutkan pelajaran adalah mereka yang tidak melakukan kesalahan berat seperti membunuh.

Beliau berkata, selain PhD, seramai 10 banduan sedang mengikuti program lanjutan pengajian di peringkat sarjana dan kira-kira 60 banduan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

"Program melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dalam kalangan banduan itu bertujuan menghakis pandangan tidak baik masyarakat terhadap bekas banduan.

"Walaupun mereka sudah pulih dan bebas dari penjara, mereka sukar mendapat kerja. Dengan program ini, diharap banduan yang memiliki taraf pendidikan tinggi itu mampu memulihkan minda mereka dan mendapat peluang kerjaya yang lebih baik," katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment