Monday, January 04, 2016
Dua Lagi MARA Digital Mall Akan Dibuka Jun Ini
KUALA LUMPUR : Dua lagi pusat barangan teknologi maklumat (IT)
Bumiputera, MARA Digital Mall akan dibuka selewat-lewatnya Jun tahun
ini di Anggerik Mall, Shah Alam dan Glomac Mall, Damansara.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob berkata ia berikutan maklum balas positif yang diterima daripada
orang ramai selepas pembukaannya di MARA Atrium Mall di Jalan Tuanku
Abdul Rahman di sini.
“Sejak ia dibuka pada Disember lepas, peniaga memaklumkan menerima maklum
balas yang baik daripada pelanggan dan jualan mereka juga meningkat.
“Oleh sebab itu kita akan tambah lagi dua pusat IT seumpamanya
kerana selain memberi banyak pilihan, penubuhan pusat ini juga dapat
membantu golongan Bumiputera dalam perniagaan,” katanya selepas melawat
MARA Digital Mall di sini, hari ini.
MARA Digital Mall yang beroperasi Dis lepas menjual pelbagai barangan
IT seperti komputer, telefon pintar dan aksesori dan sehingga kini
mempunyai 38 gerai.
Sementara itu Ismail Sabri berkata pihaknya turut menyambut baik
permintaan daripada negeri-negeri seluruh Malaysia untuk turut serta
membuka MARA Digital Mall termasuk di Terengganu, Melaka dan Negeri
Sembilan.
Dalam pada itu beliau berkata bagi menjaga kepentingan pembeli,
sebuah pusat aduan khas akan dibuka bagi membolehkan orang ramai membuat
aduan tentang masalah yang dihadapi seperti kualiti perkhidmatan
peniaga dan barangan yang dibeli.
Jelasnya lagi, setiap barangan IT yang memasuki pusat itu akan
melalui proses saringan yang dikendalikan oleh Pusat Bekalan IT Tulen,
WGN Scan Sdn Bhd yang ditempatkan di dalam MARA Digital Mall bagi
menjamin kualiti dan ketulenannya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment