Monday, January 04, 2016
Melaka Haramkan Penjualan Dan Penggunaan Vape
MELAKA : Kerajaan negeri Melaka memutuskan
mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik dan vape di
negeri ini yang akan berkuatkuasa dalam masa terdekat.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata keputusan itu
diambil selaras dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan
penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.
“Isu ini akan dibincangkan secara lebih lanjut selepas mendengar
laporan penuh daripada portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam
Sekitar di bawah Datuk Ismail Othman dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri
Melaka yang akan diadakan pada Rabu ini.
“Kerajaan negeri perlu mendapatkan maklumat berapa ramai peniaga vape
di negeri ini dan perbincangan bersama mereka juga perlu diadakan
sebelum tarikh penguatkuasaannya diumumkan,” katanya selepas lawatan
ke Sekolah Kebangsaan Sungai Udang sempena permulaan sesi persekolahan
2016 di sini, hari ini.
Turut hadir Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi,
Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka Datuk Md Yunos Husin dan Pengarah
Pendidikan Melaka Abu Bakar Sahari.
Mengulas lanjut, Idris berkata kerajaan negeri akan membantu
pengusaha atau peniaga vape di negeri ini terutama mereka yang telah
mendapat lesen penjualan vape daripada Majlis Bandaraya Melaka
Bersejarah (MBMB).
“Kita akan melihat bidang perniagaan lain yang boleh peniaga atau
penjual vape sedia ada ini ceburi selepas pengharaman penjualan vape di
negeri ini,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan MBMB telah mengeluarkan lebih 20
lesen perniagaan kepada peniaga yang menjual rokok elektronik dan vape.
Sementara itu Mufti Melaka Datuk Dr Mohd Mohadis Yasin
berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang bersidang pada 10 Dis
lepas telah memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.
Sebelum ini, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum penggunaan
rokok elektronik dan vape adalah haram setelah membuat pertimbangan
daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta
unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment