Monday, January 04, 2016
Johor Baharu Bakal Jadi Kota Metropolis Miliki Ekonomi Progresif
JOHOR BAHARU : Kerajaan negeri berhasrat menjadikan
Johor Baharu sebagai sebuah kota metropolis yang kosmopolitan dan
memiliki ekonomi paling progresif.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana
menjelang tahun 2050, 70 peratus penduduk di negara ini dijangka akan
menetap di kawasan kota dan bandar besar.
“Aspirasi kita adalah agar bandar ini muncul sebagai metropolis
yang menawarkan pelbagai ruang yang menyuluhi aspirasi warganya yang
kreatif, berilmu dan berinovatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran
Pelan Strategik 2016-2020 dan Malam Apresiasi Majlis Bandaraya Johor
Baharu (MBJB) di sini malam tadi.
Mohamed Khaled berkata beliau yakin pembangunan bandar raya ini akan
lebih pantas berbanding bandar raya lain di Malaysia kerana pertumbuhan
ekonominya yang berganda dan terancang.
Beliau berkata bagaimanapun, sebelum bandar raya ini mencapai tahap
yang diharapkan itu, ia akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan
permasalahan antaranya kemiskinan bandar, kesesakan lalu lintas dan
pencemaran alam sekitar yang mengancam mutu hidup penduduk.
Justeru, pelan strategik MBJB yang baru dilancarkan itu harus
diterjemahkan bukan sahaja menerusi strategi dan pemikiran baharu warga
MBJB, malah turut fokus kepada pentadbiran bandar raya, membangunkan
visi serta memahami aset, potensi dan sumber.
Beliau berkata, MBJB juga harus memperkaya dan memperkasa segala aset
serta prasarana sedia ada bagi memastikan Johor Baharu menjadi bandar
raya pintar dan lestari pada masa akan datang.
Selain itu katanya, satu lagi cabaran kepada MBJB ialah untuk
mewujudkan jenama bagi Johor Bahru yang boleh dipasarkan ke seluruh
dunia serta menarik kehadiran pelbagai acara sukan, peluang perniagaan
dan forum hubungan politik.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment