Monday, January 04, 2016
Johor Bersyukur Sayap Pelaburan Negeri Menang Tender Bandar Malaysia
Keputusan kerajaan negeri Johor membeli saham Bandar Malaysia Sdn Bhd
daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) baru-baru ini, bukanlah
merugikan kerana pulangannya dapat dimanfaatkan bagi kesejahteraan
rakyat.
Malah, jelas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,
keputusan menyertai tender sebagai pembida dan kemudian memenanginya
merupakan peluang kepada negeri itu.
"Apa salahnya kerajaan negeri melalui Kumpulan Prasana Rakyat Johor Sdn
Bhd (KPRJ) dalam Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH), terlibat
dalam pembangunan di Kuala Lumpur?
"Sekurang-kurangnya hasil keuntungannya boleh dibawa balik untuk
dimanfaatkan oleh KPRJ bagi perkara-perkara yang membawa kesejahteraan
kepada rakyat," katanya kepada pemberita di Pasir Gudang, di sini, hari
ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Program Gerak
Mesra Perdana 2015 dan perasmian Dewan Taman Scientex, Pasir Gudang.
Mohamed Khaled mengulas keputusan pembelian saham Bandar Malaysia
melalui konsortium IWH-China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd
(CREC), baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan
Iskandar (IRDA) berkata kerajaan negeri bersyukur atas kejayaan
memperolehi tender itu dan IWH adalah syarikat yang bertanggungjawab
membangunkan beberapa kawasan dalam Wilayah Iskandar Malaysia.
Pada 31 Dis lepas, 1MDB mengumumkan sudah menandatangani perjanjian jual
beli saham melibatkan penjualan 60 peratus pegangan Bandar Malaysia
pada harga RM7.41 bilion kepada konsortium IWH-CREC Sdn Bhd membabitkan
usaha sama 60:40 antara IWH dan CREC.
IWH yang merupakan pemaju utama bahagian "Flagship" A Koridor
Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Iskandar, adalah perkongsian awam-swasta
antara Credence Resources Sdn Bhd (60 peratus) dan KPRJ (40 peratus)
yang dimiliki oleh kerajaan negeri Johor.
CREC adalah firma kejuruteraan dan pembinaan yang merupakan syarikat pegangan milik China.
Bandar Malaysia yang akan dibangunkan dalam tempoh 15 hingga 25 tahun
dengan unjuran Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM150 bilion, bakal
muncul mercu tanda antarabangsa baharu Malaysia apabila siap kelak.
Perjanjian 1MDB dengan konsortium itu juga antara usaha merealisasikan
pelan rasionalisasi 1MDB yang dikemukakan kepada Kabinet pada 29 Mei
2015.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment