Monday, January 04, 2016

Kenapa SPAD Perlu Masuk Campur Tambang Keretapi Laju ke Singapura?

hsr-kl-sg 
Kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bahawa Malaysia berusaha memastikan harga tambang pergi balik perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura berada bawah RM400 sangat tidak masuk akal.

Pembinaan laluan ini hanya untuk memenuhi kehendak golongan berpendapatan tinggi yang sebenarnya tidak memberi banyak keuntungan pun kepada majoriti rakyat Malaysia.

HSR ini dibina untuk memenuhi kehendak pelobi polisi kelas atasan dalam usaha mereka meningkatkan perniagaan mewah dan harga kediaman di Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, Kereta api itu dirancang daripada Jurong East, Singapura ke Kuala Lumpur dengan masa dijangka lebih cepat sehingga 90 minit. Tujuh perhentian dirancang dalam projek sepanjang 340km yang menelan belanja RM40 bilion itu.

Cadangan SPAD untuk masuk campur dalam penentuan harga tambang keretapi laju ini akan mewujudkan satu lagi beban politik kepada kerajaan pada masa akan datang.

Setiap kali harga tambang HSR hendak naik ia akan meminta kelulusan SPAD. Apabila SPAD meluluskan, rakyat akan menyalahkan kerajaan. Ini satu keadaan yang tidak sepatutnya berlaku.

Ini bukan projek kepentingan awam atau rakyat seperti mana keretapi biasa atau perkhidmatan bas ekspres. Justeru tidak ada sebab untuk kerajaan menentukan berapa harga yang wajar untuk tambang perkhidmatan ini.

Kita juga khuatir pada masa akan datang Kerajaan terpaksa membayar pamapasan jika tidak bersetuju dengan permohonan pengendali untuk menaikkan tambang.

Kerajaan harus melepaskan isu tambang HSR ini kepada pemiliknya seperti mana perkhidmatan syarikat penerbangan.

Tidak ada sebab yang masuk akal untuk SPAD masuk campur isu tambang HSR kecuali ini satu lagi projek yang mahu mendapat wang mudah dari kerajaan apabila rugi.

Projek ini sudah dua kali dibatalkan dahulu kerana dianggap hanya menguntungkan Singapura tetapi diteruskan kerana lobi kuat kumpulan tertentu di Kementerian Pengangkutan.

Jika kerajaan mahu meneruskan ia harus dijalankan tanpa babitkan campur tangan kerajaan dan tidak seharusnya dianggap kemudahan awam.

Jika syarikat terbabit percaya mereka mampu mendapat keuntungan biar mereka buat tanpa campur tangan kerajaan. Ini bukan kemudahan dan kepentingan awam. Cukuplah beban politik membabitkan ERL.

Cukuplah dengan masalah kenaikan tol, LRT, Komuter dan keretapi yang menjadi beban kerajaan setiap kali SPAD memutuskan membenarkan kenaikan harga atau menghalang kenaikan dan mengesyorkan kerajaan bayar pampasan.

Perdana Menteri harus mengambil iktibar beban-beban sebelum ini. Jangan beliau mengulangi masalah yang sama kepada pengganti beliau.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment