Saya telah mengkaji dengan teliti keseluruhan
keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen serta maklum balas yang
diberikan oleh pihak SPRM berkaitan klarifikasi yang dipohon sebelum ini
berhubung satu kertas siasatan berkaitan kes yang dikatakan melibatkan
dana RM2.6 bilion dan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC
International yang telah dikemukakan kembali kepada saya oleh
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
A. “2.6 BILION”
1. Berhubung kertas siasatan berkaitan dana yang dikatakan berjumlah
“RM2.6 bilion” yang dimasukkan ke dalam akaun YAB PM, saya berpuas hati
bahawa keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang
dikemukakan oleh pihak SPRM kepada saya menunjukkan bahawa dana yang
dimasukkan ke dalam akaun YAB PM berjumlah USD681 juta (RM2.08 bilion)
di antara tarikh 22.03.2013 dan 10.04.2013 adalah merupakan sumbangan
peribadi kepada YAB PM daripada keluarga diraja Arab Saudi dan telah
diberikan kepada beliau tanpa apa-apa balasan.
2. Pihak SPRM sendiri di dalam siasatan telah menemui dan merakamkan
percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumbangan dana tersebut yang
mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada YAB PM secara peribadi.
3. Saya berpuas hati bahawa tiada keterangan yang menunjukkan bahawa
dana tersebut adalah suatu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah.
Keterangan daripada siasatan tidak menunjukkan sumbangan dana tersebut
diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah untuk melakukan atau tidak
melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau
sebagai seorang Perdana Menteri.
4. Tambahan pula, dalam bulan Ogos tahun 2013, wang sejumlah USD620
juta (RM2.03 bilion) telah dikembalikan semula oleh YAB PM kepada
keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai.
5. Berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan
yang dikemukakan, saya berpuas hati bahawa tidak terzahir apa-apa
kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut.
6. Berhubung perkara ini juga, saya juga berpuas hati bahawa tiada
keperluan bagi Malaysia untuk membuat permintaan bantuan bersama dalam
perkara jenayah (mutual legal assistance) kepada mana-mana negara asing
bagi tujuan melengkapkan siasatan jenayah yang dijalankan oleh pihak
SPRM memandangkan tidak terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung
sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut.
B. SRC INTERNATIONAL
7. Berhubung dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International,
saya berpuas hati bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan di atas
alasan-alasan berikut:
8. Di bawah Akta SPRM 2009
a. Tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan bahawa YAB PM telah
menyalahgunakan kedudukan beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang
memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh syarikat
SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP);
b. Keterangan juga menunjukkan bahawa proses kelulusan pinjaman oleh
Lembaga KWAP dan proses kelulusan jaminan pinjaman oleh mesyuarat Jemaah
Menteri adalah dibuat secara teratur;
c. Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan YAB PM meminta
atau dijanjikan apa-apa suapan daripada mana-mana pihak sebelum, semasa
atau selepas keputusan Jemaah Menteri tersebut dibuat; dan
d. Dari keseluruhan keterangan yang melibatkan apa jua
keputusan-keputusan atau tindakan, tidak menggambarkan apa-apa konflik
kepentingan oleh YAB PM; dan semasa kelulusan Jemaah Menteri.
e. Pihak SPRM sendiri telah mengakui bahawa berdasarkan hasil
siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi-saksi yang boleh
menunjukkan bahawa YAB PM telah melakukan sebarang perbuatan rasuah
(corrupt practice).
9. Di bawah Kanun Keseksaan
a. Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa YAB PM
mengetahui dan/atau dimaklumkan bahawa terdapat kemasukan wang daripada
akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau;
b. Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa YAB PM
memberikan apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada
akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau; dan
c. Keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa yang material, YAB PM
mempercayai segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan
menggunakan wang sumbangan keluarga diraja Arab Saudi yang telah
dipindahkan ke dalam akaun-akaun beliau sebelum itu.
10. Berdasarkan kepada keseluruhan fakta dan keterangan, saya sebagai
Pendakwa Raya berpuas hati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang
dilakukan oleh YAB PM berkait ketiga-tiga kertas siasatan. Pada hari
ini, kertas-kertas siasatan yang berkaitan akan dikembalikan kepada
pihak SPRM dengan arahan supaya ketiga-tiga kertas siasatan tersebut
ditutup (NFA/KUS).
TAN SRI DATO’ SRI HAJI MOHAMED APANDI BIN HAJI ALI
Peguam Negara Malaysia
26 Januari 2016
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment