Monday, January 04, 2016

Kerjasama Dengan UMNO : Hadi Panggil Taklimat Khas Pemimpin PAS Sabtu Ini

Kerjasama politik yang melibatkan dua parti terbesar orang Melayu UMNO dan PAS membuka lembaran baru selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadualkan memberikan taklimat khas mengenai perkara tersebut.

Agendadaily difahamkan taklimat yang melibatkan pemimpin PAS negeri, kawasan dan semua ADUN serta MP PAS itu akan diadakan Sabtu ini di Kota Bharu.

Sebelum ini Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menghulurkan 'salam silaturahim' kepada PAS dalam ucapan dasar ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO awal Disember lalu.

Penganalisis berpendapat ia merupakan jemputan rasmi yang dibuat oleh UMNO dan kini terserah kepada PAS untuk menerima atau menolah 'salam silaturahim' tersebut.

Untuk rekod, kerjasama politik antara PAS dan pakatan pembangkang gagal sebelum ini dan PAS kini bersendirian selain mengadakan kerjasama sepihak dengan PKR di Selangor di mana mereka berkongsi pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS akan mengadakan satu taklimat khas bagi menerangkan isu kerjasama dengan UMNO kepada pemimpin-pemimpin parti tersebut.

Menurutnya, taklimat tersebut akan diberikan sendiri oleh Abdul Hadi Awang.

“Taklimat itu akan dihadiri pimpinan pusat, negeri dan wakil rakyat PAS. Kita (PAS), sekarang ini dalam proses dalam memberi penjelasan tentang pendirian dan apa yang parti nak lakukan dalam menghadapi politik semasa.

“Taklimat ini berkisarkan kepada keadaan semasa dan isu semasa PAS termasuk pendirian parti mengenai isu kerjasama PAS dengan UMNO,” katanya.

Katanya lagi, taklimat itu juga akan memberi peluang kepada semua peserta untuk bertanya sebarang soalan.

“Jadi, kepada yang kurang jelas kita akan jelaskan. Mereka yang mungkin terkeliru, kita akan terangkan supaya hilang kekeliruan itu terutama pimpinan PAS.

“Sebab apa yang dibuat oleh presiden kita adalah apa yang diputuskan oleh parti. Bukan buat keputusan sorang-sorang tetapi bincang ramai-ramai. Kemudian kita mahu turunkan (beritahu) kepada semua pihak (ahli) dalam parti supaya semua jelas dengan isu ini,” katanya.

Takiyuddin menyarankan semua pimpinan PAS yang dijemput pada taklimat khas itu hadir.

PAS sebelum ini pernah menyertai BN ketika ia ditubuhkan oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment