Monday, January 04, 2016
Tiada Masalah Bekerjasama Dengan PAS – UMNO Johor
JOHOR BAHARU : UMNO Johor tidak mempunyai sebarang masalah
untuk bekerjasama dengan PAS, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata UMNO Johor mengalu-alukan sebarang kerjasama baik yang akan memberi manfaat kepada rakyat.
“Kalau ada apa-apa usaha untuk berbincang, bermuafakat, berunding dan
sebagainya, kami amat mengalu-alukan kerana ia mendukung aspirasi
nasional, membawa kemajuan negara dan memberi kesejahteraan kepada
rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian
hadiah Program Gerak Mesra Perdana 2015 dan perasmian Dewan Taman
Scientex, Pasir Gudang, di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar mengulas keterbukaan Presiden
UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Disember lalu untuk bekerjasama
dengan PAS dalam membangunkan negara mengikut syariat Islam.
Najib yang juga Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata beliau
gembira PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas disisihkan
daripada Pakatan Harapan yang dianggotai, DAP, PKR dan Amanah.
Mohamed Khaled berkata beliau mengharapkan kerjasama itu juga akan
menjadi titik tolak kepada UMNO dan PAS untuk mewujudkan perpaduan yang
lebih besar dalam kalangan rakyat terutama masyarakat Melayu.
Katanya, perpaduan penting untuk masyarakat kerana perpecahan hanya akan membawa ketidakstabilan dalam negara.
“Jadi, saya mendoakan mudah-mudahan pada tahun 2016 ini, negara kita
Malaysia mencapai semua perkara yang baik-baik dan semua niat yang tidak
baik, memecah-belah dan merosakkan (perpaduan rakyat) tidak menjadi,”
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment