Monday, January 04, 2016

Rumah Untuk Mangsa Banjir Di Kampung Telekong Dijangka Dapat Diduduki Akhir Januari

KUALA KRAI : Sebanyak 60 rumah kekal baharu (RKB) untuk mangsa banjir yang dibina di Kampung Telekong di sini dijangka dapat diduduki hujung bulan ini, kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pasca Banjir Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata rumah berkenaan yang dibina dengan peruntukan sebanyak RM10 juta oleh Lembaga Zakat Selangor di tanah seluas empat hektar itu kini siap 80 peratus.
KUALA KRAI, 2 Jan -- Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua, kanan) melawat rumah kekal mangsa banjir di Kampung Telekong hari ini.      Turut hadir penyelaras pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ground Zero, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (kanan).   --fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA
“Kita sedang menyiapkan infrastruktur terutama jalan di kawasan perumahan berkenaan yang turut mempunyai sebuah masjid, sebuah dewan serbaguna serta enam rumah kedai.

“Selain itu, rumah-rumah berkenaan akan dilengkapi dengan perabot seperti katil, tilam dan kerusi,” katanya selepas meninjau pembinaan rumah kekal baharu di Kampung Telekong di sini, hari ini.

Hadir sama penyelaras pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ground Zero Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Beliau berkata fasa kedua pula melibatkan pembinaan 92 RKB di tanah seluas empat hektar di kawasan berkenaan dan ia sedang dibincangkan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Jun tahun lepas berkata kerajaan Persekutuan, kerajaan Kelantan, Lembaga Zakat Selangor, Ground Zero dan Yayasan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalin kerjasama unik membina rumah kekal baharu kepada mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal dalam bencana 2014 itu.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment