Sunday, May 10, 2015
Kerajaan Akan Terang, Bentang Manfaat Hasil Tambahan Negara Kepada Rakyat – Najib
11 Mei 2015, Putrajaya : Kerajaan akan menerang dan membentangkan kepada
rakyat tentang manfaat yang dinikmati mereka daripada hasil tambahan
pendapatan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya kerajaan perlu mencari hasil yang lebih mantap untuk kewangan
negara antaranya dengan memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(CBP).
Najib berkata kerajaan perlu yakin untuk membuat keputusan walaupun
hasilnya tidak dapat dilihat dalam jangka pendek tetapi hanya mendapat
melihatnya pada jangka panjang dan sederhana panjang.
“GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) mungkin tidak popular pada
jangka pendek. Kalau boleh memperbaiki pelaksanaan cukai itu dengan
ambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab naik harga
serta memberi penjelasan tambahan kepada rakyat,” katanya pada
perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata apabila hasil pendapatan
bertambah, kerajaan akan menerangkan kepada rakyat secara telus kerana
rakyat hendak tahu penggunaan pendapatan negara itu.
“Nanti, saya akan bentangkan kepada rakyat, bahawa duit tambahan ini,
kita akan menggunakan untuk kebaikan rakyat dan negara. Ini saya hendak
member jaminan bahawa itulah sebenarnya hasrat kerajaan.
“Apabila keadaan kita lebih kukuh, pasaran yakin kepada ekonomi
negara kita, kita ada punca tambahan, kita boleh mara ke hadapan,”
katanya.
Najib berkata kerajaan telah menambah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
tahun ini bagi mengurangkan kos harga barang naik serta mengurangkan
kadar cukai perseorangan.
“Untuk kita lakukan semua ini, kita perlu ada punca kewangan yang
boleh mengukuhkan lagi pendapatan negara,” katanya sambil menambah
beliau akan membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 pada 21 Mei ini yang
menggariskan perancangan kerajaan untuk lima tahun akan datang.
Najib berkata untuk menjadi negara yang kompetitif dan negara ekonomi
berpendapatan tinggi, cukai korporat perlu diturunkan seperti dilakukan
Thailand dan Singapura yang masing-masing telah menurunkannya kepada 20
peratus dan 17 peratus, selain menurunkan cukai perseorangan.
Kadar cukai korporat semasa Malaysia kini ialah 25 peratus.
Najib turut menarik perhatian apabila berkata sejak beliau mengambil
alih pucuk kepimpinan negara pada 2009, kerajaan pada setiap tahun tidak
pernah gagal untuk mengurangkan kadar defisit negara.
“Apabila saya ambil alih kepimpinan, defisit negara adalah 6.6
peratus. Setiap tahun tanpa gagal dan secara konsisten, kadar
dikurangkan kepada 3.5 peratus setahun. Ini menunjukkan kita berada di
landasan untuk capai bajet berimbang 2020,” katanya.
Najib juga berkata kerajaan perlu yakin dengan apa yang dilaksanakan
telah mencapai keberhasilan dan daya saing negara juga bertambah.
“Yakinlah kalau kita teruskan usaha apa yang dilakukan, perbaiki kelemahan lain dan kita bekerja sebagai pasukan.
“Kalau ada masalah lain dalam tempoh itu, beri tempoh untuk
selesaikan, dan saya yakin ia dapat diselesaikan dengan syarat kita
bersama sebagai satu keluarga. Yakinlah apa yang kita impikan boleh
diselesaikan,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment