Sunday, May 10, 2015
HARI UMNO 69 Tahun: Pastikan Melayu Bersatu Untuk Kesinambungan Parti
11 Mei 2015, Kuala Lumpur : Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor menyeru ahli-ahli parti dari semua peringkat untuk
menghayati perjuangan UMNO bersempena ulang tahunnya yang ke 69 hari
ini.
Katanya, perjuangan UMNO adalah berpaksikan cita-cita kebangsaan
Melayu yang mahu mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan
negara maka nilainya perlu terus diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Perjuangan UMNO bukanlah bersifat populis dan retorik semata-mata
kerana realiti menjadi bukti hasil kejayaan yang telah digariskan sejak
penubuhannya iaitu UMNO bersama-sama Barisan Nasional membawa negara
keluar dari garis kemiskinan seterusnya menuju negara maju,” katanya
kepada UMNO-Online.
Ujarnya, dengan usia UMNO yang telah 69 tahun, sememangnya menjadi
bukti bahawa parti tersebut merentas masa, mengikut peredaran zaman dan
sentiasa menjadi pemangkin kepada anak bangsa dalam pelbagai bidang.
“Inilah satu-satunya parti yang sentiasa relevan dalam perjuangan
agama Islam, bangsa Melayu dan kedaulatan negara maka ahli-ahli UMNO
perlu sentiasa bijak membuat penilaian, waras melakukan pertimbangan dan
arif dalam menentukan masa hadapan.
“UMNO memang sentiasa diasak dari luar dan dalam, ditohmah dengan
macam-macam perkara, ada manipulasi dan provokasi tetapi kita tidak
perlu melatah kerana yang utama adalah manifestasi perjuangannya untuk
terus dihayati dan diaplikasi.”
Ujar beliau lagi, dalam pelbagai keadaan khususnya berdepan dengan
cerita-cerita negatif, nilailah jasa UMNO yang bukan sedikit malahan
semua rakyat di negara ini pastinya merasai nikmat hasil daripada
perjuangan UMNO.
“Saya yakin, dengan kesungguhan dalam memanfaatkan usaha, masa dan
tenaga maka tentunya UMNO akan terus memainkan peranan dan tetap relevan
berjuang asalkan anggota parti terus menghayati intipatinya dan
memahami kesungguhan pucuk pimpinan parti.”
“Demi agama Islam, demi maruah bangsa Melayu dan demi kedaulatan
tanah air ini, marilah kita terus bersatu dengan UMNO terus menjadi
wadah perjuangannya. Selamat Hari UMNO,” ucap beliau lagi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment