Sunday, May 10, 2015
‘Saya Terhutang Budi Pada Sabah’, Kata Najib
10 Mei 2015, Kota Belud : “Saya terhutang budi pada Sabah,” kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya pernah kata Sabah adalah ‘simpanan tetap’ Barisan Nasional
(BN). Bagi saya, Sabah tetap simpanan tetap BN,” kata perdana menteri
ketika melancarkan Projek Perumahan Rakyat Kota Belud, Ahad.
Beliau berkata Sabah mempunyai potensi besar dan BN mesti memastikan
Sabah mendapat pembangunan yang seimbang sebagai menghargai jasa rakyat
Sabah kepada BN.
Najib berkata sejak menjawat jawatan perdana menteri enam tahun lalu,
beliau meluluskan banyak peruntukan dan projek besar negeri ini kerana
beliau benar-benar mahu melihat landskap Sabah terus berubah.
“Saya akan banyak datang melawat Sabah lagi khususnya di kawasan luar
bandar. Rakyat di luar bandar cukup setia kepada UMNO dan BN. Sudah
pasti kerajaan BN yang mereka (penduduk luar bandar) sokong ini akan
terus bela mereka,” katanya.
Najib kagum dengan kebolehan pemimpin yang dipilih daripada kalangan masyarakat Sabah.
“Ada orang nak ‘cairkan’ ‘simpanan tetap’ BN. Tetapi kita ada banyak
‘panglima’ (pemimpin-pemimpin dari Sabah) yang berani, tetap pendirian
dan tidak goyah,” katanya.
Beliau memuji, antaranya, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman
yang mempunyai semangat luar biasa dalam membangkitkan kemahuan rakyat
di negeri ini; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang berupaya berpidato secara
intelek; dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Tun
Said, yang mempunyai pemikiran tajam dan berani menyuarakan pendapat.
Najib juga melahirkan kekaguman terhadap Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment