Sunday, May 10, 2015
Tanpa Sokongan ‘Team A’, Tun Mahathir Tidak Jadi PM Selama 22 Tahun
11 Mei 2015, Kuala Lumpur : Setiap pemimpin, tidak terkecuali mantan perdana
menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menempuh ujian, malah Dr Mahathir
menghadapi lebih banyak dugaan ketika menerajui pucuk pimpinan parti
dan negara selama 22 tahun – itu peringatan diberikan Datuk Seri Najib
Tun Razak hari ini.
“Mana tak ada ujian. Ujian Team A, Team B (dalam pemilihan UMNO, Dr
Mahathir) hampir kalah. Hampir 50 peratus ahli UMNO suruh dia letak
jawatan. Tapi apa dia jawab, ‘walaupun saya menang satu undi, saya akan
tetap terus menjadi Perdana Menteri’. Oh hebat dia jawab.
Saya antara yang menyokong dia. Dia (Dr Mahathir) kekal menjadi
Perdana Menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Bila dalam
susah kita beri sokongan dia kekal. Kalau kita tak sokong pemimpin
menghadapi ujian, Dr Mahathir tidak boleh kekal 22 tahun menjadi Perdana
Menteri.
“Jadi, janganlah lupa, waktu dia (Dr Mahathir) jadi Perdana Menteri,
kita sokong dia penuh.
Sekarang dia tidak jadi perdana menteri,
sokonglah pula. Kalau tak boleh sokong, janganlah bunyi sangat. Tapi tak
apa, jangan rosakkan parti. Kita boleh terangkan (isu berkaitan
1Malaysia Development Berhad (1MDB)),” katanya.
Perdana Menteri berkata, kenyataan Dr Mahathir berhubung 1MDB kebelakangan ini berbelit-belit.
“Sekejap kata 1MDB hilang RM42 bilion selepas itu kata pula tak hilang tetapi 1MDB berhutang RM42 bilion,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kerajaan ada cara tersendiri untuk menyelesaikan isu 1MDB jika diberi tempoh.
Najib menjelaskan, ketika Tabung Haji membeli sekeping tanah milik
1MDB ia adalah pelaburan dan bukannya ‘bailout’ 1MDB kerana Tabung Haji
boleh memperoleh keuntungan sehingga lebih RM170 juta melalui pembelian
itu, namun disebabkan perkara itu dijadikan isu, beliau menasihatkan
Tabung Haji menjual tanah berkenaan.
Najib berkata, melalui penjualan semula aset berkenaan, Tabung Haji
boleh untung sehingga RM5 juta hingga RM6 juta, namun pada masa sama,
merugikan pendeposit Tabung Haji sendiri kerana jika aset itu tetap
milik Tabung Haji, pendeposit boleh untung sehingga RM170 juta.
“Tetapi kerana isu sudah dipusing sebagai isu yang panas, orang kata
‘you are shooting yourself at your foot’, tembak kaki sendiri. Inilah
yang saya kata tidak rasional.
“Kita buat sesuatu untuk apa? Untuk kebaikan rakyat. Bagilah peluang.
Setiap perkara boleh kita selesaikan. Tetapi beri peluang kepada
pemimpin untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, selepas menyaksikan sokongan padu diberikan
rakyat kepadanya seperti yang dapat dilihat pada perhimpunan hari ini,
beliau berazam untuk meneruskan perjuangan, malah semangatnya kian
berkobar.
Turut hadir pada program itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa
Aman; dua Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan
Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Belia dan Sukan Sabah, yang juga
Ketua UMNO Bahagian Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Anggota
Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment