Sunday, May 10, 2015

UMNO Perlis Cadang Beberapa Pemimpin Serta Menteri Ditukar

11 Mei 2015, Kuala Lumpur : Badan Perhubungan UMNO negeri akan mencadangkan beberapa pe­mimpin termasuk yang berstatus menteri dan daripada syarikat milik kerajaan (GLC) untuk ditukar kerana gagal menjawab isu-isu rakyat dengan baik sehingga membebankan kerajaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kasim berkata, perkara itu yang dirumuskan hasil mesyuarat badan perhubungan tersebut hari ini, akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya, esok.
http://www.nasionalis.my/wp-content/uploads/2015/04/Shahidan-Kassim.jpg
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan nama-nama pe­mimpin berke­naan.

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Badan Perhubungan UMNO ne­geri juga berpendapat agar kerajaan bertindak lebih agresif memberi penerangan segera terhadap semua isu semasa.

“Perdana Menteri harus buat perubahan besar, ubah beberapa pemimpin yang UMNO negeri rasa tidak sesuai lagi berada pada jawatan tersebut. Ada pemimpin yang orang meluat dan dihentam teruk walaupun menyatakan perkara yang betul.

“Jawab segala persepsi rakyat dalam laman sosial kerana jika tidak, orang ramai akan menganggapnya betul. Siarkan jawapan mengenai isu itu secara berbayar seperti di Astro serta TV3, bukan RTM sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Shahidan seterus­nya memberitahu, isu-isu yang membe­lenggu ke­rajaan ketika ini adalah cukai barang dan perkhidmatan (GST), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan terbaharu, pelaburan Tabung Haji.

“Pemimpin yang akan menjawab isu tersebut pula diminta berhati-hati ketika mem­beri penjelasan kepada rak­yat. Janganlah tinggi sangat (sombong) ketika menjawab,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahidan memberitahu, pihaknya akan membuat satu laporan polis terhadap seorang ahli UMNO berhubung satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook baru-baru ini bahawa timbalan-timbalan ketua UMNO bahagian di seluruh negara menerima wang tunai RM500,000 daripada Perdana Menteri.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment