Sunday, May 10, 2015
Henti Kritik Kekalahan Permatang Pauh
11 Mei 2015, Ampang : Semua pihak perlu menghentikan kritikan keras
terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mendakwa isu
cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) sebagai punca kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya
Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, baru-baru ini.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Tan Sri M. Kayveas berkata,
hakikatnya BN telah kalah di kerusi parlimen tersebut sejak era bekas
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan sehingga kini tidak pernah
dimenangi parti itu.
“Sejak 1999, iaitu zaman Tun Mahathir dahulu, Permatang Pauh sudah
kalah, kemudian PRK di kawasan tersebut kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim
masuk penjara…kita kalah juga. Pada pilihan raya umum (PRU) 2004, Tun
Abdullah Ahmad Badawi menang dua pertiga majoriti tetapi kita masih
kalah di Permatang Pauh.
“PRU 2008 dan 2013 juga BN tidak berjaya memenangi kerusi Parlimen
berkenaan. Kenapa pada zaman pemerintahan Najib, kekalahan itu menjadi
persoalan dengan mengaitkan isu GST dan 1MDB?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Ibu
Peringkat Negeri Selangor bersama PPP Bahagian Ampang di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Kayveas turut merasmikan Skuad Manja Ampang yang
terdiri daripada 160 sukarelawan wanita bagi membantu menangani masalah
yang dihadapi golongan terbabit.
Sementara itu, Kayveas berkata, penyokong BN seharusnya berbangga
dengan pencapaian di Permatang Pauh itu kerana kepemimpinan Najib
berjaya menambah majoriti dan ia perkembangan baik kepada parti.
Katanya, masyarakat juga seharusnya berhenti mensensasikan isu
pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang dikaitkan dengan Najib kerana
Anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar mempunyai
ruang untuk mendedahkan perkara sebenar yang didakwanya ketika berada di
mahkamah namun dia enggan dan hanya mendiamkan diri.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment